SAKURA Band makin dikenali dengan single Polaroid.
SAKURA Band makin dikenali dengan single Polaroid.
6IXTH Sense sibuk hasilkan lagu.
6IXTH Sense sibuk hasilkan lagu.
DRAMA Band fokus buat lagu.
DRAMA Band fokus buat lagu.
Syanty Octavia Amry dan Michelle Gun


Nama tiga kumpulan ini kian meniti di bibir peminat. Satu demi satu single mereka mula menjadi perhatian.

Masih dalam ‘mood’ Aidilfitri, Drama Band, 6ixth Sense dan Sakura Band masing-masing sibuk mempromosikan single dan album mereka.

Sakura Band kini popular dengan single berjudul Polaroid, Drama Band bakal muncul dengan album baru manakala 6ixth Sense akan tampil dengan single baru tidak lama lagi.

Giat menghasilkan karya mereka demi kepuasan peminat, masing-masing memanfaatkan Ramadan dan Aidilfitri tahun ini untuk fokus dengan produk baru.

Bersama tiga kumpulan ini mereka berkongsi perkembangan seni dan sambutan Aidilfitri masing-masing.

Drama Band sibuk dalam studio

Kumpulan yang dianggotai Noosyaiful Md Zalaludin atau Aepul Roza selaku penyanyi utama, Mohd Ammar Mohd Habir (gitar), Nik Muhammad Adib Nik Zuraik (gitar), Mohd Firdaus Abu Bakar (bass), Faeez Ikhwan Abdul Halim (dram) dan Syed Muhammad Syahmir Syed Mohamad Saifuddin (keyboard) kian meraih perhatian pencinta muzik tempatan selepas enam tahun membawa nama Drama Band.

Satu demi satu single mereka mendapat perhatian dan terbaru Biarkanlah yang begitu menjadi siulan sehingga terpilih ke final Anugerah Juara Lagu ke-30.

Justeru, sebagai penghargaan buat peminat mereka turut sibuk menghasilkan beberapa lagu yang bakal dimuatkan dalam album terbaru mereka tidak lama lagi.

“Kami banyak menghabiskan masa di studio untuk menyiapkan lagu baru. Kami gunakan waktu Ramadan lalu untuk membuat lagu.

“Saya anggap itu adalah waktu yang selesa untuk lebih fokus berada dalam studio. Ada tiga lagi lagu yang perlu disiapkan.

“Insya-Allah jika tiada halangan album baru ini dapat dilancarkan sekitar bulan Ogos atau September ini,” kata Aepul mewakili teman-teman.

Memuatkan tujuh lagu, lagu Biarkanlah dan Jiwa turut diselitkan yang pastinya dua lagu berkenaan diharapkan sendiri oleh peminat untuk terkandung di dalam album berkenaan.

“Masing-masing sibuk untuk memastikan proses lagu ini berjalan lancar kerana itulah kami tidak terlalu beraya beria-ia sangat.

“Semua sama-sama fokus untuk mempromosikan album ini. Selain itu, saya juga turut menguruskan syarikat sendiri yang banyak fokus kepada menguruskan majlis.

“Insya-Allah kedua-dua perkara ini saya dapat lakukan seiring supaya sasaran kami untuk melancarkan album berkenaan tahun ini terlaksana,” kata Aepul.

6ixth Sense berehat sepanjang Ramadan dan Aidilfitri

Bakal muncul dengan single terbaru, kumpulan yang dianggotai Adi, Gjie, Wan, Ayoy dan Athan ini terus sibuk menghasilkan karya terbaik mereka.

Seperti Gjie, semua maklum dia turut terbabit dengan beberapa projek bersama Akim & The Majistret begitu juga dengan Adi yang sentiasa sibuk di studio mencari lagu baru.

“Sepanjang Ramadan lalu kami berehat daripada sebarang aktiviti dan hanya menghadiri majlis berbuka puasa. Ini kerana ada dalam kalangan kami pergi mengerjakan umrah. Di samping itu saya juga banyak menghabiskan masa di studio mencari lagu yang sesuai untuk single terbaru kami tidak lama lagi.

“Memang tidak banyak aktiviti yang kami lakukan pada Ramadan dan Aidilfitri ini, tetapi kami berharap dapat tampil dengan single baru selewat-lewatnya hujung bulan ini,” kata Adi.

Selain Adi, dalam diam isterinya Natasya turut berbakat mencipta lagu. Lagu terbaru Dayang Nurfaizah iaitu Lelaki Teragung adalah hasil ciptaan isterinya.

Berkongsi mengenai perkara itu, Adi yang melangsungkan perkahwinan dengan Natasya pada Disember tahun lalu tidak menghalang minat isterinya itu.

“Saya sendiri tidak tahu sejak bila dia boleh mencipta lagu. Apa yang saya lihat sejak berkahwin dia mula menunjukkan kecenderungannya terhadap beberapa perkara.

“Kalau dia hendak fokus membuat lagu saya tiada halangan dan kalau dia lebih menyerlah sekali pun saya okey saja. Sejak berkahwin isteri lebih suka menghabiskan masa di rumah berjinak-jinak mencipta lagu dan memasak.

“Saya pula hanya membantu membetulkan apa yang perlu terhadap penghasilan lagu yang dia cipta,” katanya.

Sakura Band ‘terbuka’ puasa awal

Selepas lagu tema drama Bidadari, Melepaskanmu nyanyian Sakura Band menjadi hit di stesen radio, single baru mereka Polaroid yang diperkenalkan beberapa bulan lalu turut menjadi siulan ramai.

Malah, video muzik lagu itu kini mencecah lebih 33,000 tontonan di YouTube sejak dimuat naik pada 13 Jun lalu.

Rancak mempromosikan Polaroid, kumpulan dianggotai Mell (vokalis), Ali (gitar), Haniff (gitar) dan Akai (bes) bakal muncul dengan album sulung tahun depan.

Mell atau nama sebenarnya Melly Matius berkata, sebanyak sembilan lagu dijangka menghiasi album itu dan rakaman akan bermula selepas Aidilfitri ini.

“Bahan untuk album sudah ada dan kami dalam proses memilih lagu terbaik. Kami tidak sabar menanti hasil album ini selepas tampil dengan beberapa single,” katanya.

Ditubuhkan pada 2012, Sakura Band pada asalnya dianggotai pemain dram Aboy yang kemudian meninggalkan kumpulan itu sekitar hujung tahun lalu selepas mendapat pekerjaan lain.

Belum mempunyai pengganti Aboy, Mell berkata, kumpulan berkenaan tiada perancangan untuk mencari pemain dram baru.

“Kami rasa tiada keperluan untuk mencari pengganti Aboy. Buat masa ini kami menggunakan khidmat sessionist apabila membuat persembahan,” katanya.

Sementara itu, berkongsi memori manis menyambut Ramadan bersama anggota Sakura Band, Mell menceritakan kejadian mereka berbuka puasa lebih awal daripada waktu sepatutnya.

“Kejadian itu berlaku baru-baru ini dan kami seolah-olah terdengar azan berkumandang. Agaknya semua orang kepenatan kerana terlampau sibuk di studio rakaman sehingga tersilap tengok waktu berbuka puasa,” katanya.

Kata vokalis dari Sabah itu, dia juga cuba berpuasa penuh untuk merasai pengalaman tidak minum dan makan.

“Sebenarnya pada hari pertama Ramadan, saya gementar mencuba berpuasa kerana tidak pasti dapat bertahan lapar dan dahaga. Pengalaman itu bagus walaupun beberapa kali terpaksa ‘ponteng’ puasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Julai 2016 @ 1:13 PM