ADI Priyo
ADI Priyo
Norhayati Nordin

Sekalipun bidang nyanyian kini didominasi ‘Budak Baru Nak Up’ (BBNU), ia tidak sedikit pun menggugat kedudukan penyanyi berkumpulan.

Apatah lagi, penyanyi berkumpulan kebanyakannya memiliki bakat bermain alat muzik dan mencipta lagu.

Ia jelas dibuktikan komposer dan pemuzik yang juga vokalis kumpulan 6ixth Sense, Adi Priyo, 35.

Selama 13 tahun membina karier seni dan berkarya di negara ini, Adi akui dia tidak berasa tergugat sebaliknya melihat kemunculan ramai penyanyi baharu yang dapat menghasilkan lagu sendiri dan bermain muzik sebagai sesuatu yang positif.

“Sebagai pemuzik, tidak ada istilah rasa tergugat kerana industri hiburan sudah banyak berubah.

“Bagi saya, apa yang perlu dilakukan adalah teruskan usaha dalam berkarya selagi diberikan ilham oleh Allah SWT.

“Saya bersyukur kerana kini karier solo dan bersama kumpulan 6ixth Sense bergerak seiring,” katanya.

Pemilik nama sebenar Adi Priyo Sambodo ini memberitahu dia dan 6ixth Sense akan tampil dengan single baharu berjudul Sebait Cinta.

Menurut Adi, semoga kemunculan single itu akan mengubat rindu peminat terhadap 6ixth Sense.

“Sebenarnya 6ixth Sense masih aktif dan apabila kontrak dengan syarikat rakaman dulu tamat, kami memilih bergerak sendiri.

“Ada juga single dihasilkan tetapi promosinya terhad kerana kekangan kewangan,” katanya.

Apa pun, Adi berkata minat mendalam terhadap dunia muzik membuatkan 6ixth Sense cekal berjuang.

Sehubungan itu, Adi juga memaklumkan dia akan muncul dengan single solo bergenre kerohanian, Aku Cinta Mati.

Berbicara mengenai single itu, Adi berkata usia yang kian meningkat membuatkan dia beralih untuk mengalunkan lagu kerohanian.

“Jiwa saya kini lebih tenang dan selesa dengan genre lagu kerohanian. Jadi, saya ambil peluang tampil dengan single Aku Cinta Mati.

“Memang fitrah manusia, sampai masanya harus akur pengakhiran hidup ini adalah kembali kepada sang pencipta.

“Begitu juga dengan cinta, tidak ada cinta yang paling hebat melainkan kasih kepada Tuhan yang satu.

“Jadi, pembabitan saya untuk tampil solo dengan single kerohanian ini sebagai memenuhi naluri jiwa,” katanya.

Menurut Adi, dia kini cenderung mengetengahkan muzik yang memenuhi kehendak dirinya.

“Saya cuba mencari kepuasan dalam berkarya dan lagu bergenre kerohanian pilihan yang tepat.

“Diharapkan single solo saya ini akan mendapat sambutan positif daripada pendengar,” katanya.

Adi yang memiliki seorang anak, bertemu jodoh dengan Natasyah Annes Ahmad, 24, yang juga penulis lirik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Oktober 2018 @ 8:02 AM