Najiy Jefri


Selepas hampir 17 tahun bergiat aktif dalam industri seni nyanyian, kumpulan popular, 6ixth Sense boleh dikatakan antara band yang masih terus mekar serta optimis menghasilkan karya baharu buat peminat setia.

Biarpun berita pengunduran pemain gitar, Mohd Faiz Azizi (Gjie) pada awal tahun lalu mengejutkan peminat kumpulan itu, namun 6ixth Sense dilihat tidak berputus asa untuk meneruskan kerjaya seni mereka.

Kumpulan yang dianggotai Adi Priyo Sambodo, 39 (Adi) selaku vokalis, pemain dram, Safuan Hasnan, 35, (Wan), pemain bass Mohd Fairos, 37 (Ayoy), pemain gitar Shahrul Effendy, 40, (Atan) serta ahli baru pemain gitar Mohd Zairul Azreen Shah, 32, (Harry) kini tampil dengan single terbaharu berjudul Tremendous.

Hampir tiga tahun menyepi tanpa produk, kumpulan yang popular menerusi lagu Tanpa dan Khatimah Cinta itu berharap lagu yang mengangkat tema persahabatan itu mampu mencipta satu gelombang baharu buat kumpulan itu agar terus mekar dalam industri seni tanah air.

Menurut Wan, selama menyepi sejak tahun 2018 masing-masing sibuk dengan kerja di belakang tabir, malah perancangan untuk menghidupkan kembali kumpulan itu pada 2019 turut terbantut gara-gara penularan Covid-19.

"Sepatutunya 2019 adalah waktu untuk kami menyusun semula perjalanan kumpulan 6ixth Sense supaya berada di landasan yang tepat.

6IXTH Sense rancang mengadakan jelajah gig ke seluruh Malaysia.
6IXTH Sense rancang mengadakan jelajah gig ke seluruh Malaysia.

"Bagaimanapun pada tahun 2020 kita diuji dengan pandemik Covid-19 dan lebih menyedihkan perancangan untuk melancarkan lagu Tremendous juga tergendala kerana Covid-19.

"Melihat keadaan negara yang semakin pulih ketika ini, jadi kami merasakan 2022 adalah masa paling sesuai untuk keluarkan single baru buat peminat," katanya.

Mengakui perlu agresif dalam merencana semula rentak dan memikat semula hati peminat, Adi selaku vokalis berkata, dia bagaimanapun bersyukur kerana masih mempunyai kelompok peminat yang terus setia menyokong muzik mereka.

"Kami sebenarnya ada mewujudkan satu kumpulan WhatsApp yang menghimpunkan peminat-peminat 6ixth Sense dari awal penubuhan.

HAMPIR tiga tahun menyepi 6ixth Sense berharap kehadiran mereka akan terus dikenali ramai.
HAMPIR tiga tahun menyepi 6ixth Sense berharap kehadiran mereka akan terus dikenali ramai.

"Jadi kami banyak berinteraksi dengan mereka melalui kumpulan WhatsApp terbabit. Selain itu, kami juga sedar yang pendengar generasi muda mungkin tidak kenal dengan 6ixth Sense kerana mereka lebih mengenali band baru yang ada sekarang.

"Tapi jika mereka mendengar lagu Sixth Sense rata-rata mengetahui kewujudan lagu kami. Cuma kami perlu lebih berkerja keras untuk memikat peminat muda untuk menyokong muzik kami dan mengikuti perkembangan seni kami daripada semasa ke semasa," katanya.

Mengimbas kembali perjalanan muzik 6ixth Sense, kumpulan itu pernah mencetuskan fenomena luar biasa apabila album pertama pada 2006 berjaya terjual lebih 100,000 unit selain lebih dua juta muat turun secara digital menerusi empat buah album studio.

6IXTH Sense kini muncul dengan single terbaharu berjudul Tremendous.
6IXTH Sense kini muncul dengan single terbaharu berjudul Tremendous.

Melihat kejayaan yang diraih sebelum ini, 6ixth Sense mengaku tidak boleh duduk diam sebaliknya perlu menggunakan segala platform media sosial untuk memasarkan segala produk baharu kumpulan itu.

"Kami cuba adaptasi segala platform media sosial yang ada sekarang walaupun kami kurang mahir menggunakannya.

"Sewaktu awal penubuhan 6ixth Sense, media sosial bukan satu medium penting, tapi sekarang mahu atau tidak kami perlu belajar dan berusaha ke arah itu walaupun agak kekok,"katanya.

Ditanya mengenai perancangan mengadakan showcase sempena 17 tahun berada dalam industri seni, Adi berkata, buat masa ini belum ada sebarang perancangan ke arah itu.

Bagaimanapun 6ixth Sense merancang untuk mengadakan jelajah gig ke seluruh Malaysia terlebih dahulu selepas Aidilfitri nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2022 @ 6:00 AM