Ali XPDC
Ali XPDC
Ramlah Zainal 


Kuala Lumpur: "Keadaan suami lemah dan tidak dapat buat pemeriksaan CT Scan (imbasan tomografi berkomputer) untuk masalah jantung bengkak pada tanggal 30 April lalu," kata isteri penyanyi, Ali XPDC, 56, iaitu Sharifah Azuwanna Syed Joned mengenai perkembangan kesihatan suaminya ketika ini.

 Sharifah Azuwanna, 52, berkata, doktor terpaksa beri tarikh baru untuk suaminya membuat pemeriksaan CT Scan di Klinik Nuklear, Hospital Putrajaya pada 4 Jun depan.

"Saya sudah bawa suami ke hospital seperti tarikh dijadualkan tetapi doktor tidak dapat melakukan pemeriksaan CT Scan itu kerana suami tidak boleh berbaring.

"Doktor sudah cuba untuk buat juga tetapi suami tidak boleh baring walaupun dalam tempoh 20 minit untuk pemeriksaan berkenaan.

"Kalau di rumah, suami memang akan duduk dahulu dan bila sudah terlelap baru dia baring," katanya kepada Harian Metro.

Mengenai keadaan Ali lagi, kata Sharifah Azuwanna, suaminya masih mengalami sesak nafas dan perlu makan ubat untuk lawas kencing bagi masalah paru-paru berair.

"Doktor beri tarikh baru untuk pemeriksaan susulan di hospital kerana mahu pastikan suami sihat terlebih dahulu.

"Suami hanya boleh minum air sebanyak 500 mililiter sahaja dan tidak boleh banyak kerana paru-parunya masih ada air lagi.

"Doktor beritahu kalau orang sihat, jantung kita mengepam sebanyak 100 peratus tapi jantung suami hanya 18 peratus sahaja dan memang lemah," katanya.

Ditanya karier nyanyian pula, kata Sharifah Azuwanna, doktor meminta suaminya berehat seketika dari bidang nyanyian.

"Doktor beritahu suami kena berehat dulu dari menyanyi sehingga kesihatannya pulih.

"Namun, suami ada persembahan bersama kumpulan XPDC sempena Loop Music Festival di Axiata Arena pada 11 Mei nanti.

"Pada 10 Mei pula, suami perlu menjalani latihan untuk konsert terbabit. Walaupun persembahan selama setengah jam, kena menyanyi empat hingga lima lagu juga. Doakanlah, semoga suami cepat sembuh untuk menjayakan konsert berkenaan," katanya.

Terdahulu, Ali dikejarkan ke wad kecemasan, Hospital Sultan Idris Shah, Serdang kerana mengalami sesak nafas di kediamannya di Bandar Baru Salak Tinggi pada 18 April lalu. 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2024 @ 7:06 PM