6IXTH Sense bakal tampil single baru berentak balada.
6IXTH Sense bakal tampil single baru berentak balada.
Oleh Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


Band 6ixth Sense membuat pertaruhan terbesar awal tahun ini apabila menubuhkan syarikat pengurusan sendiri selepas meninggalkan syarikat rakaman lama.

Walaupun sedar tindakan mereka cukup berisiko, 6ixth Sense puas kerana berkuasa sepenuhnya dalam merencanakan karier di bawah 6ixth Sense Production.

Antara perubahan ketara band dianggotai Adi (vokalis), Gjie (gitar utama), Wan (dram), Ayoy (bass), dan Athan (gitar kedua) ini ialah menukar arah muzik mereka.

Buktinya lagu terbaru mereka berjudul 7 Kali Malam Minggu benar-benar berbeza melodinya berbanding lagu terdahulu seperti Tak Bisa Memilihmu.

Menurut Adi, mereka tidak menyesal dengan keputusan itu dan gembira apabila lagu berkenaan mendapat sambutan memberangsangkan.

Malah, ia mendapat permintaan tinggi setiap kali 6ixth Sense membuat persembahan.

“Setiap kali buat persembahan, kami dapati ramai yang hafal lirik lagu itu. Lagipun, melodinya ‘catchy’ dan senang melekat di telinga pendengar,” katanya.

Dalam perkembangan lain, 6ixth Sense juga bakal kembali ke studio untuk menyiapkan single seterusnya pula.

Apapun, menurut Adi, mereka memberi tumpuan kepada penghasilan single sebelum menghasilkan album.

“Kali ini, kami kembali mempertaruhkan lagu berentak balada semula dan kini dalam proses ‘mixing’,” katanya mengenai single yang bakal dilancarkan hujung tahun itu.

Adi berkata, album terbaru mungkin akan dikeluarkan tahun depan. Namun, mereka enggan terburu-buru kerana pemilihan lagu perlu dilakukan dengan teliti walaupun sudah banyak lagu baru disiapkan.

Apa yang pasti perjalanan karier mereka tidak lagi sama sejak memiliki syarikat pengurusan sendiri, namun itu bukan masalah besar buat 6ixth Sense.

Menurut Adi, masing-masing sudah ada peranan bagi memastikan kelancaran syarikat itu.

“Fokus kami tidak berpecah pun sebenarnya. Ini kerana masing-masing dipertanggungjawabkan menjaga bahagian masing-masing contohnya saya memang fokus buat lagu saja.

“Wan pula menguruskan syarikat dan artis yang bernaung di bawah kami manakala Gjie memberi tumpuan kepada pengurusan 6ixth Sense,” katanya.

Adi balik Indonesia selepas Aidilfitri

Bercerita mengenai sambutan Aidilfitri tahun ini, Adi yang berasal dari Indonesia hanya meraikannya di Kuala Lumpur.

Katanya, dia hanya akan pulang ke Indonesia bulan depan.

“Memang sedih tak dapat beraya di kampung halaman, tetapi saya memang sudah merancang untuk balik bulan depan. Yang pasti, saya akan bercuti lama,” katanya.

Ditanya sekiranya ada agenda penting di sini menyebabkan dia tidak pulang ke kampung, Adi berkata, dia memang sengaja berbuat demikian.

“Anggota lain semua balik beraya dan kebetulan Aidilfitri tahun ini kami tidak menjayakan mana-mana persembahan. Kalau ada pun cuma program TVyang sudah disiapkan sebelum Ramadan lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2015 @ 9:55 AM