FAISAL (kiri) berharap skuad Harimau Malaya capai kecergasan terbaik menjelang perlawanan dengan Kyrgyzstan dan Taiwan, bulan depan. FOTO FB FAM
FAISAL (kiri) berharap skuad Harimau Malaya capai kecergasan terbaik menjelang perlawanan dengan Kyrgyzstan dan Taiwan, bulan depan. FOTO FB FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Bintang bola sepak negara, Faisal Halim menjadikan tiga aksi awal Liga Super sebagai medan terbaik buat rakan sepasukan Harimau Malaya mendapatkan kecergasan maksimum sebelum turun menghadapi dua aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, bulan depan.

Anak buah Kim Pan-gon itu dijadual menentang Kyrgyzstan di tempat lawan pada 6 Jun sebelum melayan Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 11 Jun, dalam usaha mencuri slot ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 serta layak automatik ke Piala Asia 2027.

Jelas Faisal atau lebih mesra dipanggil Mickey, semua pemain perlu mencari momentum sebenar pada aksi liga domestik, sekali gus membantu skuad kebangsaan memburu kemenangan pertama di pentas antarabangsa tahun ini.

"Kita akan harungi dua perlawanan terakhir yang penting buat pasukan kebangsaan dan sebelum lapor diri ke skuad kebangsaan, kita ada beberapa perlawanan Liga Super.

"Jadi, saya harap apabila liga sudah bermula, ia sedikit sebanyak dapat membantu pemain. Saya tak boleh janji bulan dan bintang, tapi kita kena buat yang terbaik dan lebih baik.

"Peluang masih terbuka, cuma jalan itu sukar. Kita yang pilih jalan ini, kita yang cipta peluang ini, jadi kita kena jalan dan buat yang terbaik untuk pasukan kebangsaan serta semua rakyat Malaysia," katanya.

Sebelum ini, isu kecergasan menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan peminat dan pemerhati susulan kegagalan skuad Harimau Malaya yang tewas dua kali kepada Oman.

Kehilangan enam mata di tangan Oman itu menyaksikan kedudukan Malaysia dalam Kumpulan D jatuh ke tangga ketiga, biarpun sebelum aksi terbabit cukup gah di tempat pertama.

Lantas kemenangan ke atas Kyrgyzstan di Bishkek pada 6 Jun ini amat penting bagi menghidupkan peluang sebelum memburu kemenangan ke atas Taiwan di SNBJ, lima hari kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2024 @ 6:20 PM