MAYAT seorang mangsa yang ditemui dimasukkan ke dalam beg mayat.
MAYAT seorang mangsa yang ditemui dimasukkan ke dalam beg mayat.

Kaherah: Jumlah kematian akibat nahas bot membawa pendatang yang karam di pesisiran perairan Mesir meningkat melebihi 100 orang semalam selepas lebih mayat ditemui di Laut Mediterranean.

Pendatang yang terselamat dalam nahas itu mendakwa sehingga 450 orang berada di dalam bot nelayan berkenaan yang belayar dari Mesir menuju ke Itali ketika ia karam berhampiran bandar pelabuhan Rosetta di Mesir, Rabu lalu.

Pegawai kementerian kesihatan, Adel Khalifa berkata, 53 lagi mayat ditemui semalam, menjadikan jumlah yang mati meningkat kepada sekurang-kurangnya 108.

Tentera berkata, 163 orang berjaya diselamatkan dan usaha mencari mangsa masih diteruskan.

Pihak berkuasa sudah menahan empat orang disyaki penyeludup manusia berhubung kejadian itu, yang dikatakan agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai yang paling teruk direkodkan untuk nahas di Laut Mediterranean.

Lebih 10,000 orang maut dalam usaha menyeberangi Mediterranean ke Eropah sejak 2014, kata PBB.

Sekurang-kurangnya 300,000 pendatang menyeberangi laut itu setakat ini tahun ini, dari pelbagai lokasi. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 September 2016 @ 8:51 AM