SEORANG lelaki yang ditangkap bersembunyi di dalam tilam dalam cubaan menyeludup masuk ke Itali.
SEORANG lelaki yang ditangkap bersembunyi di dalam tilam dalam cubaan menyeludup masuk ke Itali.
PENDATANG ini cuba mencapai tali untuk diselamatkan selepas bot yang dinaiki mereka karam di Laut Mediterranean.
PENDATANG ini cuba mencapai tali untuk diselamatkan selepas bot yang dinaiki mereka karam di Laut Mediterranean.
Agensi

Kumpulan penyeludup kini aktif menggunakan media sosial seperti Facebook dan WhatsApp untuk memerangkap pendatang dengan menjanjikan laluan selamat ke Eropah tetapi realitinya ia umpama ‘jalan menuju kematian’.

Organisasi Antarabangsa untuk Pendatang (IOM) di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menuduh firma media itu menutup sebelah mata terhadap aktiviti jenayah berkenaan.

Seorang pegawai IOM, Leonard Doyle memberitahu, pendatang diperdaya untuk ke Eropah secara haram dan gergasi media berkenaan tidak berbuat apa-apa untuk menghalangnya.

Katanya, Facebook memperkenalkan langkah untuk mencegah pornografi kanak-kanak dan aktiviti pengganas dalam usaha untuk menghalang penyeludupan manusia masih kurang.

“Orang di kawasan kampung yang tidak mempunyai apa-apa kecuali telefon pintar yang retak boleh bertemu penyeludup dengan mudah.

“Mereka ini biasanya tidak sedar itu adalah perangkap. Mereka tidak sedar mereka mungkin menjadi mangsa sindiket pelacuran, penghambaan atau lebih teruk lagi punca kematian mereka,” katanya kepada akhbar The Independent.

Ujarnya, aktiviti penyeludupan manusia kini perniagaan ketiga terbesar bagi penjenayah antarabangsa.

“Sekiranya seseorang mencari pornografi kanak-kanak di Facebook dia akan menerima amaran bahawa aktiviti itu melanggar undang-undang.

SEKUMPULAN pendatang dari Afrika diselamatkan ketika cuba menyeberangi Laut Mediterranean dengan menaiki bot getah.
SEKUMPULAN pendatang dari Afrika diselamatkan ketika cuba menyeberangi Laut Mediterranean dengan menaiki bot getah.

“Bagaimanapun, perkara sama tidak berlaku pada aktiviti penyeludupan manusia. Mereka membiarkan aktiviti jenayah ini berlaku,” jelasnya.

Sementara itu, siasatan Daily Mail mendapati kumpulan penyeludup secara terang-terangan menawarkan perkhidmatan masuk ke United Kingdom (UK) secara haram dengan bayaran mencecah £10,000 (RM52,279).

Penyeludup juga memberitahu mereka boleh membantu pendatang dari Afrika dan Asia masuk ke Eropah Barat tanpa ditangkap.

Pelbagai aktiviti haram itu dikesan di Facebook, beberapa jam selepas syarikat itu mengumumkan ia meningkatkan tahap keselamatan media sosial berkenaan.

Facebook mengumumkan, ia menggandakan pasukan keselamatan kepada 30,000 petugas dan melabur pada teknologi terbaru bagi menentang aktiviti penyeludupan serta jenayah lain.

Namun, aktiviti penyeludupan manusia secara haram itu boleh ditemui dengan membuat carian mudah di Facebook.

Satu laman yang ditemui bertajuk ‘Penghijrahan secara haram dari Libya ke Itali’ dan menawarkan tempat dalam sebuah bot nelayan uzur untuk menyeberangi Laut Mediterranean.

PENDATANG mempertaruhkan nyawa menaiki bot nelayan untuk mencari kehidupan lebih baik di Eropah.
PENDATANG mempertaruhkan nyawa menaiki bot nelayan untuk mencari kehidupan lebih baik di Eropah.

Laman itu juga memuat naik gambar sebuah bot yang penuh dengan pendatang.

Satu lagi laman Facebook menunjukkan kumpulan itu beroperasi dari Tehran, Iran.

Laman itu turut menyatakan, “Kami boleh membantu mereka yang mahu berhijrah secara haram atau sah untuk mendatangkan perlindungan politik. Mereka yang tiada pasport atau tidak mahu menggunakan pasport mereka sendiri, kami boleh sediakan pasport lain”.

Ia turut menyenaraikan negara untuk membawa pendatang lengkap dengan harganya.

Kumpulan itu menawarkan perjalanan ke UK dengan bayaran £6,000 (RM31,369).

Pada satu lagi laman Facebook pula, penyeludup meminta bayaran £10,000 untuk perjalanan yang dijamin selamat ke UK.

Aktiviti pendatang haram kini menjadi isu besar di Eropah selepas ribuan imigran dari Afrika sanggup menempuh perjalanan bahaya untuk mencari kehidupan yang lebih baik di negara berkenaan.

Ratusan pendatang termasuk kanak-kanak juga dilaporkan terbunuh akibat lemas selepas bot kecil yang dinaiki mereka ketika menyeberangi Laut Mediterranean untuk masuk ke Eropah karam.

PENDATANG mempertaruhkan nyawa menaiki bot nelayan untuk mencari kehidupan lebih baik di Eropah.
PENDATANG mempertaruhkan nyawa menaiki bot nelayan untuk mencari kehidupan lebih baik di Eropah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 10:40 AM