MANGSA yang terselamat di pusat perlindungan di Zarzis, Tunisia. FOTO AFP
MANGSA yang terselamat di pusat perlindungan di Zarzis, Tunisia. FOTO AFP
AFP

TUNIS: Kira-kira 60 pendatang asing, kebanyakannya dari Bangladesh, mati lemas selepas bot dinaiki karam di Laut Mediterranean sejurus melepasi Libya ke Itali, kata Bulan Sabit Merah Tunisia, semalam.

Mangsa yang terselamat berkata, nahas berlaku selepas kira-kira 75 penumpang kapal berkenaan yang meninggalkan Zuwara di barat laut Libya, lewat Khamis dipindahkan ke bot lebih kecil yang kemudian karam di luar pesisiran Tunisia.

“Pendatang berkenaan dipindahkan ke bot kembung namun terlalu ramai dimuatkan ke dalamnya menyebabkan ia tenggelam 10 minit kemudian,” kata Mongi Slim, pegawai Bulan Sabit Merah di Zarzis, Tunisia.

Nelayan Tunisia menyelamatkan 16 orang dan membawa mereka ke pantai di Zarzis.

Mangsa terselamat berkata, mereka hanyut lapan jam dalam laut sejuk sebelum dilihat nelayan yang menghubungi pengawal pantai, kata Slim.

Bot itu menuju ke Itali dan hanya membawa lelaki iaitu 51 dari Bangladesh, selain tiga rakyat Mesir, manakala selebihnya dari Maghribi, Chad dan negara Afrika lain.

Empat belas rakyat Bangladesh termasuk seorang bawah umur antara yang terselamat. Mayat tiga orang ditemui pada Jumaat, kata kementerian pertahanan Tunisia.

“Jika nelayan berkenaan tidak ternampak mereka pasti tiada siapa terselamat malah mungkin kami tidak mengetahui kejadian itu langsung,” kata Slim.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2019 @ 7:53 AM