PASUKAN penyelamat menemui mayat 62 pendatang asing di pesisir laut berhampiran Khoms.
PASUKAN penyelamat menemui mayat 62 pendatang asing di pesisir laut berhampiran Khoms.
AFP

TRIPOLI: Pasukan penyelamat menemui mayat 62 pendatang asing selepas bot dinaiki mereka karam di pesisir laut berhampiran Khoms, Libya kelmarin.

Kira-kira 145 pendatang diselamatkan pengawal pantai selepas bot yang dipercayai membawa kira-kira 400 orang tenggelam akibat terlebih muatan.

Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) menganggarkan lebih 110 orang masih hilang dan nelayan melaporkan perairan dipenuhi mayat terapung.

Ketua Persatuan Sabit Merah Libya, Abdelmoneim Abu Sbeih dalam satu kenyataan semalam berkata, masih banyak mayat terapung berhampiran kawasan pantai.

“Anggota kami sudah mengeluarkan mayat 62 pendatang asing dari laut sejak petang Khamis lalu,” katanya.

Pesuruhjaya Tinggi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Filippo Grandi berkata, kejadian itu tragedi paling teruk yang berlaku di Mediterranean sepanjang tahun ini.

Menurut jurucakap Tentera Laut Libya, Jeneral Ayoub Kacem, sebahagian besar pendatang yang terselamat berasal dari Eritrea, Palestin dan Sudan.

Pihak berkuasa di Khoms kini berdepan beberapa masalah antaranya mencari kawasan perkuburan untuk mengebumikan mangsa.

Beberapa minggu lalu, seramai 68 pendatang lemas selepas bot dinaiki tenggelam di Tunisia ketika dalam perjalanan ke Itali.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Julai 2019 @ 11:54 AM