GAMBAR diambil pada 25 Mei lalu menunjukkan pendatang terjun ke dalam air sebelum bot mereka karam.
GAMBAR diambil pada 25 Mei lalu menunjukkan pendatang terjun ke dalam air sebelum bot mereka karam.
AFP

Rome: Seramai 700 pendatang dipercayai maut sepanjang minggu lalu di Laut Mediterranean dengan mangsa terselamat mendakwa 500 lain termasuk 40 kanak-kanak antara korban terbaru.

Agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) berkata, mangsa terselamat menceritakan bagaimana bot dinaiki karam pada pagi Khamis selepas berlaku masalah ketika pelayaran.

Jurucakap UNHCR Carlotta Sami berkata: “Kita tidak tahu jumlah dan identiti sebenar mereka, tetapi mangsa terselamat mendakwa lebih 500 maut.”

Dengan kira-kira 100 hilang selepas sebuah bot karam pada Rabu selain 45 mayat ditemui dalam kejadian kapal karam Jumaat lalu, UNHCR berkata, seramai 700 terkorban minggu ini di Mediterranean.

Jurucakap Save the Children di Sicily, Giovanna Di Benedetto berkata, sukar memastikan jumlah mangsa sebenar, tetapi mangsa terselamat dalam kejadian Khamis lalu mendakwa 1,100 belayar dari Libya pada Rabu menaiki bot nelayan dan satu bot kembung.

“Bot pertama membawa 500 orang dilaporkan menarik bot kedua yang membawa 500 lagi. Malangnya, bot kedua mula tenggelam. Ada yang cuba berenang ke bot pertama, ada pula cuba memaut tali yang menghubungkan kedua-duanya,” katanya.

Malangnya, kapten bot pertama yang juga warga Sudan memotong tali berkenaan yang melibas dan memancung kepala seorang wanita. Bot kedua kemudian tenggelam dengan penumpangnya.

Kapten warga Sudan itu ditangkap sebaik tiba di Pozzallo bersama tiga lagi disyaki penyeludup manusia, lapor media Itali.

Seorang gadis Nigeria berkata: “Macam-macam kami lakukan untuk menghalang bot tenggelam.

“Kami menggunakan tangan, gelas plastik... Selama dua jam kami berusaha membuag semula air yang masuk ke dalam bot, namun gagal. Wanita, lelaki dan kanak-kanak terperangka seterusnya lemas.”

La Repubblica daily memetik mangsa terselamat berkata, kira-kira 40 kanak-kanak termasuk ramai bayi baru lahir antara yang maut. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mei 2016 @ 7:16 AM