KLOPP (kanan) risau dengan serangan balas Hull.
KLOPP (kanan) risau dengan serangan balas Hull.

Liverpool: Liverpool semakin yakin selepas menang tiga perlawanan liga dan piala secara berturut-turut tetapi pengurus Jurgen Klopp perlu memastikan anak buahnya dapat bermain dengan baik apabila berdepan Hull City di Anfield malam ini.

Skuad kendalian Klopp sudah berjaya mengetepikan lawan besar seperti Arsenal, Leicester City dan Chelsea musim ini menerusi corak permainan yang menarik dan pantas.

Begitupun, satu-satunya kekalahan mereka musim ini ialah ketika menentang Burnley dan Reds tunduk di tangan lawan yang hanya memiliki 19 peratus penguasaan.

Hull pula sudah membuktikan bahawa mereka mampu bertahan walaupun ditekan tetapi Klopp percaya peminat juga perlu memainkan peranan dan tidak mengharapkan sesuatu yang besar walaupun Liverpool berdepan pasukan yang dijangka tidak sukar untuk ditewaskan.

“Ramai yang berpendapat kami sering berdepan masalah menentang lawan yang mengamalkan corak bertahan,” kata Klopp. “Saya rasa kami tidak memiliki ruang yang besar ketika menentang Chelsea atau Tottenham.

“Kami perlu mencari penyelesaiannya. Saya rasa kami semua boleh meningkat - pasukan, jurulatih, pengurus dan penyokong.

“Jika anda menjaringkan gol ketika menentang Chelsea, ia pasti memberikan keputusan positif. Jika anda tidak mencipta gol, ia masih lagi positif sebab anda mencipta peluang menentang pasukan seperti itu. Jika anda terlepas jaringan menentang lawan seperti Burnley, ia pasti dilihat sebagai negatif.

“Itulah yang perlu kami pelajari. Tidak ada perlawanan yang mudah. Begitu juga dengan perlawanan menentang Hull. Mengapa kami harus menganggap Hull sebagai lawan yang mudah diatasi?” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 September 2016 @ 5:13 AM