AFP

Liverpool: Persembahan Liverpool dalam kancah Liga Perdana musim ini menunjukkan The Reds tiada masalah ketika menentang pasukan teratas tetapi terpaksa berhempas pulas dengan mereka berada dalam kelompok bawah.

Itu sebab mengapa kemenangan 3-1 ke atas Arsenal, pencabar mereka untuk empat tempat teratas, tidak mengejutkan.

Justeru, bukan kejutan juga jika Liverpool yang dibimbing Jurgen Klopp (gambar) berdepan dengan saat sukar di gelanggang sendiri apabila bertemu Burnley hari ini.

Semua lima kekalahan Liverpool dalam aksi liga dirakam ketika menentang pasukan bawahan, termasuk Burnley yang menghuni tempat ke-12. Burnley yang mempunyai penguasaan bola hanya 12 peratus ketika kedua-dua pasukan bertemu di Turf Moor, tidak menghadapi masalah menang 2-0.

Teori popular dalam kalangan pengikut setia Liverpool adalah anak buah Klopp tidak bersedia untuk berdepan dengan pasukan berdisiplin ketika bertahan dan mencari peluang sewaktu menyerang balas seperti mana Burnley lakukan.

“Perlawanan ini begitu istimewa,” kata Klopp. “Walaupun kami menang semua perlawanan menentang pasukan lain yang berada di bahagian bawah, Burnley sentiasa dianggap istimewa kerana mempunyai rancangan paling jelas berbanding pasukan lain.”

Menjelang pertemuan itu, Burnley kini berada sembilan mata di atas zon penyingkiran dan Klopp mengakui: “Saya fikir Burnley gembira dengan kedudukan mereka. Mereka 100 peratus tahu apa yang perlu dilakukan walaupun sedar ia bukan mudah.

“Menentang Burnley anda perlu jelas dengan apa yang perlu dijangka. Kami tidak boleh bergantung kepada serangan balas dan set-piece. Ia memerlukan cabaran menyeluruh.

“Tugas saya, mengikut pemahaman, adalah membantu pasukan mencari keputusan tepat dengan mudah. Itu sebabnya mengapa latihan perlu diadakan. Kami perlu membuktikannya di atas padang.

“Pada ketika ini, saya tidak pasti kami akan menang menentang Burnley tapi saya begitu optimistik. Kami sudah bersedia untuk bertarung.”

Kemenangan bagi Liverpool yang berada di kedudukan keempat, akan membuka jurang lima mata dengan pasukan tempat kelima Arsenal. Pencabar mereka untuk aksi Liga Juara-Juara itu tidak beraksi hujung minggu ini kerana terbabit dengan kempen Piala FA.

Bagaimanapun Liverpool akan turun tanpa kapten Jordan Henderson yang terlepas dua perlawanan terakhir kerana masalah kaki manakala penyerang Daniel Sturridge terpaksa diketepikan akibat kecederaan pinggul.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2017 @ 5:18 AM