WIJNALDUM (kanan) jaring gol penyamaan Reds.
WIJNALDUM (kanan) jaring gol penyamaan Reds.
AFP

Liverpool, England: Pengurus Liverpool Juergen Klopp mengakui gembira apabila pasukannya menang dengan cara ‘kotor’ pada baki musim Liga Perdana Inggeris jika ia memberikan keputusan seperti kemenangan 2-1 ke atas Burnley di Anfield, awal pagi semalam.

Pasukan Klopp mencerahkan peluang mereka menamatkan saingan di tangga empat teratas dan layak ke Liga Juara-Juara musim depan hasil rembatan jarak jauh Emre Can pada minit ke-60.

Namun ketika menentang Burnley yang hanya mengumpul dua mata daripada pertemuan di tempat lawan musim ini, Liverpool perlu bekerja keras untuk bangkit selepas jaringan mengejut Ashley Barnes memberikan gol awal buat pelawat.

“Saya perlu katakan anda perlu bersedia untuk kedua-duanya,” kata Klopp apabila ditanya sama ada penting buat pasukannya belajar memenangi perlawanan dengan cara ‘kotor’.

“Anda tidak boleh merancang aksi buruk tapi jika ia bukan perlawanan terbaik, maka, ya, jika kami mahu terus berada di kedudukan sekarang justeru kami perlu menang dan tidak boleh membuat pilihan untuk bermain dengan cara ini atau sebaliknya,” jelas jurulatih dari Jerman itu.

“Kami perlu membiasakan diri. Ia perlawanan pertama kami menang dengan cara ini. Biasanya kami tewas apabila tidak bermain dengan baik.

“Ia hari yang cukup baik hari ini apabila berjaya meraih kemenangan seperti ini. Biasanya kami menang sekiranya bermain dengan baik tapi kami perlu memberi cabaran dalam perlawanan yang teruk dan sederhana. Kami berada di tahap itu hari ini.”

Kemenangan itu menyaksikan Liverpool kekal di tangga keempat, masih berdepan saingan terbuka untuk ke Liga Juara-Juara dan kini lima mata mengatasi Arsenal di tangga kelima.

Liverpool bernasib baik kerana menyamakan kedudukan sejurus sebelum rehat menentang Burnley selepas Georginio Wijnaldum menjaringkan gol penyamaan pada masa kecederaan.

Jaringan Can meletakkan Liverpool di depan Arsenal dan Manchester United dalam saingan tempat keempat dan ketika Klopp menganggap pemain tengah Jerman itu sepatutnya berusaha lebih keras bagi menghalang hantaran Matt Lowton untuk gol Burnley, beliau berpuas hati menyaksikan pemain itu akhirnya pulih darpada kecederaan yang sering membelenggu.

“Emre mempunyai sikap yang mengagumkan,” kata Klopp. “Dia berdepan masalah betis yang sukar pulih dengan cepat.

“Kami mempunyai ramai pakar yang mencuba pelbagai cara dan kemudian menemui penyelesaian supaya dia tidak lagi mengalami masalah sama.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2017 @ 7:44 AM