Slager (kanan) dilihat menembak Scott yang sedang melarikan diri. Gambar kecil Slager.
Slager (kanan) dilihat menembak Scott yang sedang melarikan diri. Gambar kecil Slager.

South Carolina (Amerika Syarikat): Seorang polis berkulit putih dituduh membunuh, semalam beberapa jam selepas pasukan keselamatan menyaksikan video yang menunjukkannya menembak seorang lelaki Afrika Amerika beberapa kali di belakang.

Ketika mengumumkan tuduhan berkenaan pada sidang media tergempar, Datuk Bandar North Charleston Keith Summey berkata anggota polis terbabit Michael Thomas Slager tersilap perhitungan ketika mengendalikan kejadian itu.

Mangsa, Walter Lamer Scott, 50, ditembak selepas diserang menggunakan senapang pegun.

Rakaman video kejadian disiarkan media menunjukkan Slager melepaskan lapan tembakan terhadap belakang Scott yang sedang melarikan diri.

Scott dilihat rebah selepas tembakan kelapan. Slager kemudian dilihat berjalan menghampiri mangsa dan mengarahkannya meletakkan tangan di belakangnya.

Scott dipercayai cuba melarikan diri kerana mempunyai bayaran tertunggak bagi nafkah saraan anaknya - kesalahan yang boleh menyebabkan seseorang dipenjara di South Carolina.

Dia mempunyai empat anak dan seorang tunang serta dilepaskan daripada perkhidmatan Pengawal Pantai Amerika Syarikat dengan rekod kerja baik. Dia juga tiada rekod keganasan.

Kejadian Sabtu lalu itu - yang bermula selepas mangsa diarahkan berhenti disebabkan lampu brek rosak - berlaku ketika rakyat Amerika memandang sensitif isu kepercayaan antara penguat kuasa dan masyarakat minoriti berikutan beberapa lelaki Afrika Amerika ditembak mati polis.

Ini termasuk kematian Michael Brown di Ferguson, Missouri dan Eric Garner di Staten Island, New York.

Kedua-duanya mencetuskan tunjuk perasaan bantahan di seluruh negara. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2015 @ 7:28 AM