ANGGOTA polis di Berkeley, California cuba menghalang penunjuk perasaan selepas mereka mula bertindak ganas, semalam.
ANGGOTA polis di Berkeley, California cuba menghalang penunjuk perasaan selepas mereka mula bertindak ganas, semalam.

New York: Pihak berkuasa berkata tunjuk perasaan di California bertukar ganas apabila penunjuk perasaan memecahkan tingkap dan melontar objek ke arah polis.

Demonstrasi di seluruh Amerika Syarikat berterusan semalam berhubung keputusan juri agung Bandar Raya New York untuk tidak mendakwa seorang anggota polis kulit putih yang dikatakan bertanggungjawab mencekik sehingga mati seorang lelaki kulit hitam tidak bersenjata.

Jurucakap Jabatan Polis Berkeley Jenn Coats berkata, seorang anggotanya cedera ringan awal semalam selepas penunjuk perasaan melontar batu dan objek lain ke arah polis.

Menurutnya, beberapa kedai dijarah dan dirosakkan.

Polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata dan bom asap untuk menyuraikan penunjuk perasaan.

Ribuan orang menunjuk perasaan secara aman di New York dan beberapa tempat lain sejak pengumuman Rabu lalu bahawa juri agung tidak akan mendakwa anggota polis kulit putih berkait dengan kematian Eric Garner, lelaki kulit hitam yang berulang kali berkata ‘Saya tidak boleh bernafas’ ketika dia ditangkap kerana menjual rokok tidak bercukai.

Tunjuk perasaan lain menyusuli keputusan juri agung di Missouri sebelum ini untuk tidak mendakwa seorang lagi polis kulit putih berkait dengan kematian Michael Brown, remaja kulit hitam berusia 18 tahun yang ditembak mati.

Anggota polis menyifatkan bantahan terhadap keputusan juri itu menyebabkan mereka berasa dikhianati dan diperkecilkan.

Tunjuk perasaan di New York juga berterusan, masuk hari keempat berturut-turut. Bagaimanapun tidak ada laporan mengenai keganasan.

Di Seattle, beratus-ratus orang berarak ke ibu pejabat polis.

Pihak berkuasa berkata, kumpulan itu berpecah dengan ada yang melontar batu ke arah polis.

Tujuh orang ditangkap. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Disember 2014 @ 7:56 AM