Jordan Edwards, 15, mati ditembak anggota polis Roy Oliver, Ahad lalu.
Jordan Edwards, 15, mati ditembak anggota polis Roy Oliver, Ahad lalu.
AP

Kes 1

Balch Springs: Jabatan polis daerah di sini, hari ini, memecat anggotanya yang menembak mati remaja kulit hitam berusia 15 tahun ketika mangsa berada dalam kereta yang bergerak meninggalkan sebuah rumah selepas menghadiri majlis, Sabtu lalu (Ahad waktu Malaysia).

Pemeriksa Perubatan Daerah Dallas memutuskan kematian remaja itu, Jordan Edwards sebagai kes bunuh dan keluarga mangsa menuntut anggota polis berkenaan dikenakan tuduhan jenayah. Peguam Daerah dan Sheriff Daerah Dallas kini menyiasat kes berkenaan.

Ketua Polis Balch Springs, Jonathan Haber, mengesakan anggota polis itu, Roy Oliver, dipecat.

Dalam kejadian itu, Oliver tiba di tempat kejadian selepas menerima aduan remaja bawah umur minum minuman keras dan melihat sebuah kereta meninggalkan tempat kejadian.

Polis berkenaan melepaskan tembakan raifal ke arah kereta dinaiki Jordan dipandu seorang abangnya berusia 16 tahun. Seorang lagi abangnya dan dua rakan juga berada dalam kereta itu.

Tembakan berkenaan menembusi pintu penumpang depan dan membunuh Jordan.

Polis sebelum ini mendakwa kereta berkenaan mengundur, mengancam keselamatan anggota polis menyebabkan Oliver melepaskan tembakan namun kemudian mengakui kereta mangsa bergerak ke depan selepas rakaman video orang ramai yang tersebar di media sosial menunjukkan kereta itu tidak mengancam keselamatan polis.

Rakaman Walter Scott ditembak dari belakang oleh Salger pada April 2015
Rakaman Walter Scott ditembak dari belakang oleh Salger pada April 2015

Kes 2

Charleston, Carolina Selatan: Semua pihak, termasuk keluarga mangsa kini tertanya-tanya berapa lama seorang anggota polis kulit putih yang menembak mati pemandu kulit hitam berusia 51 tahun pada 2015, akan berada dalam penjara selepas polis itu mengaku bersalah, hari ini.

Michael Slager, 35, mengaku bersalah terhadap tuduhan melanggar hak asasi persekutuan bagi kejadian pada 4 April 2015 itu yang membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup.

Pengakuannya itu menyelamatkannya daripada perbicaraan kedua yang boleh menyebabkan Slager disabitkan dengan tuduhan membunuh Walter Scott selepas menahannya kerana kesalahan lampu belakang kereta pecah.

Slager, polis di North Charleston, Carolina Selatan, sudah dipecat.

Dalam rakaman video orang ramai di media sosial, Scott keluar dari kereta dan cuba melarikan diri, sebelum terjatuh terkena tembakan pistol renjatan Slager. Apabila Slager bangun dan cuba lari, Slager menembaknya lima kali dari belakang.

Slager mendakwa Scott cuba merampas pistol renjatannya, bercanggah dengan rakaman video orang ramai menunjukkan polis itu tiada berada dalam bahaya dan tiada sebab untuk menembak Scott.

Kini terpulang kepada hakim untuk menentukan jumlah hukuman penjara Slager.

Keluarga mangsa menerima pampasan AS$6.5 juta daripada bandar North Charleston bagi kes berkenaan.

 Jabatan Kehakiman memutuskan dua polis yang terbabit dalam kejadian Alton Sterling mati ditembak tidak akan didakwa.
Jabatan Kehakiman memutuskan dua polis yang terbabit dalam kejadian Alton Sterling mati ditembak tidak akan didakwa.

Kes 3

Baton Rouge, Louisiana: Bantahan tercetus dalam kalangan orang ramai, terutama masyarakat kulit hitam dan keluarga mangsa selepas Jabatan Kehakiman memutuskan tidak mendakwa dia anggota polis di sini, dalam kejadian seorang lelaki kulit hitam mati ditembak pada 5 Julai 2016.

Pihak berkuasa memulakan siasatan hak asasi awam selepas kejadian polis menembak mati Alton Sterling, 37, yang menjual cakera padat buatan sendiri di luar sebuah kedai runcit.

Keputusan itu membolehkan pihak berkuasa negeri tidak perlu melakukan siasatan dan meneruskan tuduhan jenayah.

Dua rakaman video telefon bimbit menunjukkan Sterling bergelut dengan dua polis itu, Blane Salamoni dan Howie Lake II, selepas dia ditembak dengan pistol renjatan kerana tidak mematuhi arahan polis meletakkan tangan ke atas bonet kereta.

Laporan menyatakan ketika dua polis itu menekan Sterling ke tanah, mereka ternampak pemegang pistol dalam kocek seluar lelaki itu dan dia mahu mengambilnya sebelum Sterling ditembak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2017 @ 7:13 PM