Kuala Lumpur: Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh mengakui pemain tidak harus melepaskan peluang meraih insentif lumayan walaupun hanya beraksi di temasya peringkat rantau Asia Tenggara iaitu Sukan Sea.
Menurutnya, BAM sudah mempunyai struktur insentif seperti dijanjikan sebelum ini, jadi pendekatan sama bakal digunakan buat barisan pemain muda jika berjaya membawa pulang pingat terutamanya emas.
"Untuk badminton, kita sudah ada struktur insentif, jadi kita akan ikut perkara berkenaan.
"Saya percaya pemain sudah menyedari mengenai insentif yang sudah kita wujudkan sebelum ini," katanya di Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Skuad Badminton ke Sukan Sea di Akademi Badminton Malaysia (ABM), sebentar tadi.
Beliau berkata, pemain sekarang sedar apa yang persatuan harapkan daripada mereka dan bakal mendapat ganjaran lumayan jika cemerlang di Kemboja.
"Insentif yang kami sediakan memang banyak tahap, dari Kejohanan Dunia, Jelajah Dunia sehinggalah pelbagai kategori," kata Kenny.
Tahun lalu, pasangan emas di Sukan Sea Vietnam dalam acara beregu campuran, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei meraih RM30,000 selepas menewaskan rakan senegara, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See di pentas final.
BAM mengekalkan jumlah sama untuk acara beregu, manakala pemain perseorangan pula dijanjikan RM20,000 jika berjaya membawa pulang emas.
Ditanya mengenai persiapan skuad badminton Sukan Sea setakat ini, Kenny berkata, semuanya mengikut apa yang dirancang termasuk mengadakan kem latihan di ABM.
"Memang kita mengikut perancangan dan pastinya jurulatih memainkan peranan mereka membuat persiapan dan analisis yang perlu dilakukan, tiada kecederaan dan mereka dijangka bertolak Sabtu ini.
"Mengenai sasaran, kita memburu satu daripada tujuh emas yang disenaraikan, dengan meletak harapan kepada beregu lelaki atau beregu campuran. Kita harap dapat mempertahankan emas beregu campuran," katanya.
Pada temasya Sukan Sea di Phnom Penh dari 5 Mei hingga 17 Mei itu, perseorangan lelaki skuad negara akan dibarisi Leong Jun Hao, Jacky Kok, Lee Shun Yang, Ong Ken Yon manakala perseorangan wanita ialah Tan Zhing Yi, Siti Nurshuhaini Azman dan Wong Ling Ching.
Beregu lelaki pula akan diwakili Goh Boon Sze-Rayner Beh, Chia Wei Jie-Liew Xun dan Cheng Su Hui-Cheng Su Yin, Lee Xin Jie-Low Yeen Yuan, Valeree Siow (berpasukan) bagi beregu wanita.