Nasharuddin Muhammad


DENGAN peningkatan jemaah dari seluruh dunia pada musim haji kali ini, jemaah Malaysia akan bergerak ke Arafah lebih awal berbanding amalan sebelum ini.

Ketua Rombongan Haji 1438 Hijrah, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, langkah itu bagi memastikan operasi masya'ir jemaah Malaysia berjalan lancar.

Beliau berkata, dengan pertambahan jemaah antara 600,000 hingga 700,000 orang, antara cabaran utama dihadapi ialah kesesakan lalu lintas.

Berikutan itu, pihaknya memutuskan pergerakan jemaah Malaysia ke Arafah dibuat lebih awal pada 9 pagi, 8 Zulhijjah (30 Ogos).

Katanya, sebelum ini, pergerakan jemaah Malaysia hanya bermula selepas solat Zuhur pada 8 Zulhijjah dan dijangka selesai menjelang tengah malam hari sama.

Beliau berkata, semua jemaah akan dibawa secara berperingkat mengikut maktab penginapan masing-masing.

"Sebanyak 20 bas disediakan bagi setiap maktab yang akan membawa jemaah dalam tiga perjalanan," katanya pada sidang media selepas meninjau persiapan operasi masya'ir.

Ini bermakna 280 bas perlu disediakan bagi membawa jemaah di 14 maktab membabitkan keseluruhan 840 perjalanan.

Beliau berkata, pada musim haji kali ini, beberapa penambaikan dilakukan muassasah bagi memberi lebih keselesaan kepada jemaah.

Katanya, di Arafah, pengurusan muassasah menyediakan khemah baru yang lebih stabil, kalis api serta mampu menahan tiupan angin kencang.

"Ini tahun pertama kerajaan Arab Saudi mengenakan syarat ini di Arafah. Sebelum ini mereka menggunakan khemah dalam bentuk kain khemah saja.

"Dengan khemah lebih besar ini, ia dapat memuatkan jemaah lebih ramai, keadaan juga lebih selesa kerana dinding khemah lebih stabil dan kukuh," katanya.

Beliau berkata, di Arafah juga disediakan generator tambahan bagi membekalkan elektrik dan tidak hanya bergantung kepada bekalan yang disalurkan kerajaan.

"Ini bermakna pada tahun ini setiap maktab ada generator sendiri sebagai sokongan.

"Cuaca yang agak panas memerlukan pelbagai sumber bekalan elektrik yang tinggi untuk kipas berwap yang digunakan pada tahun ini," katanya.

Katanya, penambahbaikan juga dibuat di Muzdalifah apabila tahun ini muassasah menyediakan anak batu melontar bagi setiap jemaah.

"Sebelum ini, jemaah perlu mengutip sendiri anak batu di Muzdalifah, tahun ini muassasah sediakan 100 anak batu untuk melontar di Jamarat," katanya.

Menurutnya, di Mina, penambahbaikan yang dibuat ialah alat penyejuk udara ditukar dengan set baru bukan saja di khemah Malaysia, malah khemah negara lain juga.

Beliau berkata, alat urinal untuk membuang air kecil turut disediakan untuk kemudahan jemaah tanpa perlu menggunakan tandas.

"Jemaah haji akan bermalam di Arafah dan pada esoknya iaitu 9 Zulhijjah (31 Ogos) selepas Zuhur masuklah waktu wukuf.

"Kemudian pada 6.30 petang 9 Zulhijjah, jemaah akan mula digerakkan dari Arafah ke Muzdalifah.

"Pada 9 Zulhijjah sekitar 11.45 malam iaitu detik separuh malam, jemaah akan mula digerakkan dari Muzdalifah ke Mina dan dijangka berakhir pada 9 atau 10 pagi, 10 Zulhijjah (1 September).

"Di Mina, aktiviti utama ialah melontar di Jamarat serta aktiviti agama yang lain seperti zikir dan tazkirah.

"Sebahagian besar jemaah akan balik dari Mina ke Makkah pada 13 Zulhijjah (4 September) untuk menyempurnakan tawaf dan saie haji seterusnya tahalul, maka sempurnalah ibadat haji mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2017 @ 1:07 PM
SYED Saleh (tengah) meninjau operasi masya'ir di Arafah, Muzdalifah dan Mina. FOTO Nasharuddin Muhammad
SYED Saleh (tengah) meninjau operasi masya'ir di Arafah, Muzdalifah dan Mina. FOTO Nasharuddin Muhammad