Craig (dua dari kanan) bersama barisan pelakon SPECTRE.
Craig (dua dari kanan) bersama barisan pelakon SPECTRE.

Los Angeles: Penerbit James Bond berkata, versi awal skrip filem terbaru mereka, SPECTRE antara bahan yang dicuri dan didedahkan kepada umum oleh penggodam yang berjaya menembusi sistem komputer Sony Pictures.

Dalam kenyataan semalam, Eon Productions berkata, mereka bimbang pihak ketiga yang menerima skrip dicuri itu mungkin menerbitkan bahan itu atau kandungannya.

Eon Productions juga mengingatkan, skrip berkenaan dilindungi undang-undang hak cipta United Kingdom.

SPECTRE lakonan Daniel Craig sebagai Bond dijadualkan ditayangkan pada 6 November tahun depan.

Penggambaran bermula bulan ini selepas penerbitnya, Barbara Broccoli dan pengarah Sam Mendes mengumumkan tajuk, barisan pelakon dan kereta yang bakal digunakan, namun tidak mendedahkan plotnya.

Mendes dilaporkan berkata, dia amat teruja untuk menceritakannya, namun terpaksa menahan diri daripada mendedahkan plot SPECTRE.

Francais filem Bond antara produksi paling menguntungkan Sony Pictures, malah filem Skyfall sebelum ini meraih AS$1.1 bilion (RM3.8 bilion) di seluruh dunia - jumlah tertinggi bagi filem watak itu.

Jurucakap Sony, Robert Lawson berkata, laporan mendakwa serangan siber memaksa penggambaran filem SPECTRE terpaksa dihentikan adalah tidak benar.

“Segalanya masih diteruskan mengikut perancangan,” katanya.

Sony Corp diserang penggodam pada 24 November lalu menyebabkan rangkaian komputernya lumpuh, selain berlaku kerucian maklumat sensitif dalam serangan siber dianggap paling teruk terhadap sebuah syarikat di Amerika Syarikat.

Identiti penggodam terbabit masih disiasat. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Disember 2014 @ 5:09 AM