NAOMIE berharap dijemput kembali untuk francais James Bond ke-25.
NAOMIE berharap dijemput kembali untuk francais James Bond ke-25.
Amirul Haswendy Ashari


Pelakon jelita kelahiran London, Naomie Harris, 41, menyimpan impian kembali membintangi filem terbaru James Bond.

Sebelum ini, dia pernah muncul sebagai Eve Moneypenny di dalam dua terbitan filem francais paling lama mengenai ejen perisik itu melalui Skyfall dan Spectre.

“Saya berharap dijemput kembali untuk francais James Bond ke-25. Kalau tidak, mungkin saya akan kecewa. Memang saya teringin sangat kembali ke set filem itu,” katanya.

Difahamkan, pada masa ini Daniel Craig sudah menyatakan persetujuan kembali sebagai James Bond dalam filem arahan Danny Boyle itu.

Naomie berkata, Danny banyak membantu kerjayanya terutama ketika diuji bakat untuk filem 28 Days Later pada 2002.

“Pastinya ia sesuatu yang indah jika dapat bersatu semula dengan Danny untuk filem Bond terbaru ini. Saya memulakan kerjaya di layar perak bersama Danny.

“Bagi saya, dia seorang yang berfikiran jauh dan bijak mencipta fenomena. Dia juga ada kelas, selera yang bagus dan pastinya dia akan menjadikan James Bond akan datang lebih menakjubkan,” katanya.

Bercakap mengenai filem terbarunya Rampage, Naomie memegang watak Dr Kate Caldwell bergandingan dengan Dwayne Johnson menyifatkan pelakon itu mempunyai aura yang jelas di layar perak.

Dia berkata, filem aksi pengembaraan itu sebenarnya bukanlah genre filem yang diminati pada peringkat awal.

“Jiwa saya lebih dekat dengan filem ‘indie’ tapi selepas membaca skrip Rampage, saya jatuh cinta,” katanya.

Katanya, agak jarang dia melihat filem yang tahu menyuntik elemen penuh perasaan di dalam filem sebegitu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 April 2018 @ 3:12 AM