MOHD Zamri (kanan) meraikan kemenangan  peringkat kedua, semalam.
MOHD Zamri (kanan) meraikan kemenangan peringkat kedua, semalam.

Jempol: Dua beradik, Mohd Zamri dan Mohd Harrif Salleh memberikan kemenangan 1-2 kepada pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) pada peringkat kedua perlumbaan Jelajah Malaysia 2014 (JM2014) dari Dataran Nilai ke Bandar Seri Jempol, semalam.

Perlumbaan peringkat kedua sejauh 152.7 kilometer (km) itu berakhir dengan pecutan berkumpulan menyaksikan gandingan adik-beradik itu berjaya memintas pemegang Jersi Kuning, Rafaa Chtioui dari Tunisia di garisan penamat.

Mohd Zamri menamatkan saingan peringkat kedua dengan masa tiga jam 52 minit dan 15 saat, begitu juga adiknya Mohd Harrif yang mencipta catatan sama.

Rafaa, pelumba berpengalaman Tunisia, sekadar berpuas hati di tempat ketiga.

“Semalam kami gagal merealisasikan strategi. Saya berjanji kepada pasukan untuk membaiki kesilapan dan syukur saya mendapat kembali kemenangan podium. Sudah agak lama juga saya tidak memenangi perlumbaan peringkat.

“Pada perlumbaan hari ini, saya agak ketinggalan, kira-kira 20km selepas pendakian di Kampung Batu, tapi saya berjaya mengejar kelompok pelumba di hadapan. Saya berterima kasih kepada rakan sepasukan dan pasukan ATM yang banyak membantu saya dalam perlumbaan hari ini.

“Saya sudah menjangkakan perlumbaan akan berakhir dengan pecutan berkumpulan. Pada 10km terakhir, rakan banyak membantu membawa saya untuk berada di hadapan dan berjaya mencari ruang yang selamat untuk melakukan henjutan di garisan penamat,” kata Mohd Zamri.

Kali terakhir dia memenangi perlumbaan peringkat ketika menyertai perlumbaan Jelajah Singkarak di Indonesia pada 2012.

Sementara itu, pelumba Skydive Dubai Pro Cycling Team, Rafaa terus mengekalkan jersi kuning selaku pendahulu keseluruhan dengan mengumpul 7:36:51s, hanya 0.09 saat di hadapan rakan sepasukan, Adil Jelloul dari Maghribi.

Dia turut mengekalkan jersi hijau (Raja Pecut) dengan mengumpul 30 mata. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Disember 2014 @ 5:03 AM