Putrajaya: Pelumba kebangsaan Hong Kong, Ko Siu Wai menampilkan kayuhan konsisten sebelum mengorak langkah cemerlang memintas tiga pelumba kelompok utama untuk menjuarai peringkat keempat perlumbaan berbasikal Jelajah Malaysia 2014 (JM2014) semalam.

Pelumba berusia 27 tahun itu meraih kemenangan pertama dengan catatan masa tiga jam, 21 minit dan 20 saat bagi perlumbaan paling singkat, 147km dari Pusat Akuatik Paroi, Negeri Sembilan, ke Persiaran Perdana.

“Pada baki 25km, saya ketinggalan dua atau tiga minit daripada kelompok utama dan kumpulan mengejar. Saya berjaya mengekalkan rentak kayuhan dan menamatkannya dengan kejayaan,” katanya.

Pelumba Indonesia dari pasukan Pegasus Continental Cycling Team, Novardianto Jamalidin di tempat kedua manakala pelumba Polis Diraja Malaysia (PDRM), Muhammad Fauzan Ahmad Lufti, ketiga.

“Sasaran saya memenangi peringkat di sini. Saya terpaksa bekerja lebih keras menuju ke garisan penamat selepas rentak kayuhan bertambah pantas dengan laluan landai pada kilometer terakhir,” kata Siu Wai.

Sementara itu, pemenang peringkat pertama, Rafaa Chtioui dari pasukan Skydive Dubai Pro, bertekad mengekalkan jersi kuning pada peringkat akhir hari ini.

“Pasukan berusaha keras membantu saya mengekalkan jersi itu. Insya-Allah, kita mampu mengekalkan jersi itu. Saya fikir pasukan akan merangka strategi untuk melakukannya,” kata pelumba Tunisia berusia 28 tahun itu.

Rafaa mengumpul masa 15:06:13s selepas empat peringkat.

Dalam pada itu, gelaran Raja Bukit (jersi merah) dan Raja Pecut (jersi hijau) masih milik pelumba Pegasus Continental, Dani Lesmana dan Arin Iswana.

Perlumbaan peringkat akhir membabitkan jarak 150.3km iaitu Kuala Klawang (pergi-balik) dengan tiga pendakian kategori dua di Bukit Tangga dan Bukit Putus sebelum diakhiri dua zon pecutan di Kuala Pilah dan Simpang Pertang.
- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Disember 2014 @ 6:32 AM