Alor Gajah: Pelumba pasukan Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Zamri Salleh sekali lagi mencipta kejayaan bergaya pada edisi ke-50 perlumbaan berbasikal Jelajah Malaysia 2014 (JM2014).

Selepas memberikan kemenangan 1-2 kepada pasukan TSG kelmarin, dia dan adiknya, Mohd Harrif sekali lagi meraih kemenangan 1-2 pada peringkat ketiga JM2014 sejauh 171.1km bermula dari Dataran Nilai, Negeri Sembilan dan tamat di Dataran Keris, semalam.

Perlumbaan yang sekali lagi berakhir dengan pecutan berkumpulan menyaksikan Mohd Zamri terlebih dahulu berjaya melintasi garisan penamat dengan catatan masa empat jam, tujuh minit dan 11 saat.

“Kami memang yakin dapat mengejar kelompok pendahulu. Saya dan Mohd Harrif memang sudah bersedia membuat henjutan di beberapa kilometer terakhir.

“Saya bersyukur kerana percaturan untuk memenangi peringkat ini berjaya,” kata pelumba berusia 31 tahun itu.

Seorang lagi pelumba TSG, Muhd Shaiful Anwar Azis (Azis) terus mengekalkan jersi putih selaku pelumba terbaik Malaysia selepas tiga peringkat perlumbaan.

“Saya dan rakan sepasukan akan terus berusaha untuk mengekalkan jersi ini. Selain mengekalkan jersi putih, saya juga akan cuba untuk meraih jersi biru (Terbaik Asia),” katanya.

Selepas tiga peringkat, Muhd Shaiful Anwar mengumpul masa 11:44:27s, hanya 0.06 saat di belakang penyandang jersi biru, pelumba pasukan kebangsaan Hong Kong, Ho Burr.

Perlumbaan peringkat ketiga turut menyaksikan jersi hijau berpindah tangan selepas pelumba pasukan Pegasus Continental Cycling Team dari Indonesia, Arin Iswana merampasnya daripada anggota pasukan Skydive Dubai Pro Cycling Team, Rafaa Chtioui dengan mengumpul 34 mata.

Sementara itu, Rafaa terus mengekalkan jersi kuning selepas mengumpul 11:44:02s dan jersi merah (Raja Bukit) masih menjadi milik Dani Lesmana, juga dari pasukan Pegasus Continental Cycling Team dengan 12 mata. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Disember 2014 @ 8:01 AM