AKSI  Kedah menentang Kelantan  dalam aksi Liga Super.
AKSI Kedah menentang Kelantan dalam aksi Liga Super.
Izzali Ismail

Alor Setar: Beraksi di tempat lawan bukan penghalang buat Kedah untuk mensasar kemenangan pada pertemuan pertama suku akhir Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam ini.

Ketua Jurulatih Kedah Tan Cheng Hoe berkata, selaku finalis Piala Malaysia tahun lalu, skuad Helang Merah mahu menjaringkan seberapa banyak gol di tempat lawan sebagai bekalan selesa sebelum bertemu di Alor Setar, 17 September nanti.

“Saya mahu melihat barisan pemain Kedah turun beraksi dengan semangat juang yang tinggi dan penuh keyakinan dalam memburu kemenangan pada perlawanan esok (malam ini).

“Justeru, pemain perlu terus kekalkan fokus pada perlawanan menentang Negeri Sembilan dan jangan leka serta memberi ruang dengan melakukan kesilapan mudah yang boleh merugikan,” katanya.

Menurutnya, mereka tidak akan memandang mudah saingan pihak lawan yang beraksi dalam Liga Perdana kerana skuad Hoben Jang Hoben pasti mahu kemenangan di depan penyokong sendiri.

Katanya, pada masa sama beliau turut mengaku bukan tugas mudah bertemu Negeri Sembilan kerana peluang tetap seimbang tambahan pula pasukan lawan turut berjaya meloloskan diri hingga ke peringkat suku akhir.

“Saya berharap dengan kemenangan Kedah dalam beberapa perlawanan sebelum ini mampu memberi rangsangan dan motivasi kepada pemain untuk berusaha lebih gigih dalam misi memburu keputusan positif.

“Keserasian dua penyerang import baharu (Thiago Augusto dan Shane Smeltz) dengan corak permainan Kedah semakin meningkat dan hasilnya dapat dilihat apabila mereka menjaringkan gol penting dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

“Saya juga berharap pemain yang akan diturunkan pada aksi malam esok (ini) dapat bermain dengan sepenuh jiwa mahupun keyakinan dengan mempamerkan prestasi terbaik dalam memburu kemenangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2016 @ 5:11 AM