PEMAIN NS Matrix digesa raih tiga mata berdepan UiTM.
PEMAIN NS Matrix digesa raih tiga mata berdepan UiTM.
Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: “Saya harap pemain Negeri Sembilan (NS) Matrix tidak mensia-siakan peluang beraksi di gelanggang sendiri malam esok (malam ini) untuk mendapatkan kemenangan dan meraih tiga mata berharga,” kata pengurus pasukan Datuk Abdul Ghani Hasan.

NS Matrix bakal membuat perhitungan dengan UiTM FC, dalam aksi Liga Perdana di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam ini.

Menurut Abdul Ghani, perlawanan itu sepatutnya diadakan di gelanggang lawan tetapi disebabkan masalah padang, UiTM FC memilih diadakan di Paroi sekali gus memberi peluang skuad Hoben Jang Hoben beraksi di gelanggang sendiri.

Beliau bagaimanapun mahu anak buah K Devan itu tidak memandang mudah cabaran kerana UiTM FC memiliki kekuatan tersendiri kerana mampu mengikat Kedah di Alor Setar, dalam aksi sebelum ini.

“Ini menunjukkan UiTM FC mampu membuat kejutan walaupun beraksi di tempat lawan. Justeru, pemain perlu waspada supaya tidak terperangkap dengan strategi dan gerakan pasukan lawan.

“Pemain perlu tampilkan persembahan terbaik dan komitmen tinggi selain tidak melakukan kesilapan mudah yang boleh menjejaskan harapan pasukan,” katanya.

Beliau akui persiapan pasukan sedikit terencat berikutan lapan pemain kurang cergas selain tonggak pertahanan Jean Marc Elexandre pulang ke negara asalnya Haiti, kerana tugas antarabangsa.

Bagaimanapun katanya, situasi itu tidak harus menganggu fokus pemain kerana kemenangan perlu diterjemahkan bagi membolehkan pasukan memperbaiki kedudukan dalam carta liga yang ketika ini ketinggalan jauh dengan lima pasukan lain.

“Kita tiada pilihan kecuali bekerja keras dan memastikan tiga mata dalam perlawanan malam esok (malam ini) menjadi milik pasukan. Peluang seperti itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya biarpun persiapan tidak seperti biasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2015 @ 8:02 AM