PEMAIN Kedah Mohd Rizal Ghazali (kiri) menghalang pergerakan  import T-Team Makan Konate.
PEMAIN Kedah Mohd Rizal Ghazali (kiri) menghalang pergerakan import T-Team Makan Konate.
Izzali Ismail

Alor Setar: Kedah kembali memperoleh rentak kemenangan apabila menewaskan T-Team 2-0 dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasirudin Shah, Kuala Terengganu, kelmarin.

Pemain skuad Helang Merah bagaikan bangkit daripada luka untuk memburu kemenangan selepas tewas 0-5 kepada Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dalam aksi Liga Super sebelum ini.

Ketua jurulatih Kedah Tan Cheng Hoe berkata, kemenangan yang diburu ketika menentang T-Team memaksanya melakukan rombakan di barisan belakang bagi menambah kekuatan bahagian pertahanan.

Menurutnya, beliau melakukan pertukaran posisi penjaga gol dengan memasukkan Ifwat Akmal bagi menggantikan Farhan Abu Bakar, manakala Bang Seunghwan digantikan dengan Osman Yusoff di posisi bek tengah.

“Nampaknya perubahan itu menjadi selain prestasi beberapa pemain muda juga membantu, khususnya dalam menyerang dan mempertahankan benteng kami.

“Malah, Shane Smeltz bertindak cemerlang apabila dua kali membolosi gawang lawan. Diharap ini perkembangan baik buat kami,” katanya.

Menurutnya, pemain antarabangsa New Zealand berkenaan sedang menyesuaikan diri dengan corak permainan Kedah selain keadaan cuaca di negara ini.

“Komitmen tinggi ditunjukkan semua pemain sepanjang 90 minit terutama pemain muda membuktikan Kedah perlu kekal fokus untuk mencari kemenangan.

“Saya berharap kami dapat mengekalkan rentak d dalam perlawanan akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2016 @ 8:41 AM