Izzali Ismail

Alor Setar: “Saya berpendapat fokus, disiplin dan motivasi tinggi dipamerkan pemain antara resipi kejayaan kami mengikat pasukan PDRM semalam (kelmarin),” kata ketua jurulatih Kedah Tan Cheng Hoe (gambar) mengulas kejayaan anak buahnya mara ke final Piala Malaysia menerusi agregat 2-1.

Beliau berkata, kejayaan itu amat manis untuk semua pemain termasuk dirinya kerana sekali lagi mereka berpeluang mengulangi aksi final bertemu Selangor tahun lalu.

“Semua pemain berjaya mengekalkan momentum permainan seperti yang diharapkan dan pertahanan juga menunjukkan prestasi yang baik mengekang setiap percubaan lawan.

“Barisan hadapan yang ditunjangi kapten Baddrol Bakhtiar, Shane Smeltz dan Thiago Augusto juga bermain dengan baik dan berjaya membuat beberapa percubaan sekali gus mengucar-ngacirkan pertahanan PDRM dan hampir mencipta gol pada separuh masa pertama,” katanya semalam.

Mengikut statistik perlawanan, Kedah melakukan sembilan percubaan ke pintu gol PDRM dan lima daripadanya tepat ke sasaran berbanding PDRM yang membuat lima percubaan namun semuanya tersasar.

“Saya dapat rasakan bukan mudah bagi setiap pemain mengekalkan momentum permainan sepanjang perlawanan penting ini kerana terpaksa berdepan tekanan. Namun saya puas hati kerana pemain dapat mempamerkan kekuatan mental tinggi.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2016 @ 9:05 AM