Azlan Muhammad Zain & Ferzalfie Fauzi

Sepang: Ketua jurulatih terjun negara Yang Zhuliang (gambar) menyuarakan keazaman untuk terus membantu negara memburu kejayaan di Olimpik Tokyo, empat tahun lagi.

Walaupun kontraknya berakhir tahun depan pengendali dari China itu mengesahkan akan bersama skuad negara.

“Kontrak disambung setiap dua tahun dan bakal berakhir selepas Sukan SEA tahun depan.

“Namun saya bersedia kekal dan mengendalikan skuad negara,” katanya yang membantu skuad terjun meraih pingat perak di Rio selepas London, empat tahun lalu.

Bagaimanapun beliau tidak mampu menjanjikan emas kepada skuad negara kerana sedar dominasi China yang sukar dipecahkan.

“Kita perlu berusaha dengan lebih keras, tidak hanya boleh bercakap untuk meraih emas.

“Semua negara mahu menewaskan dan mengatasi China namun mereka sangat kuat. Bayangkan pada usia 14 atau 15 tahun, penerjun mereka sudah bergelar juara kebangsaan dan antarabangsa,” jelasnya.

Bagaimanapun beliau menjelaskan Malaysia mempunyai masa depan cerah kerana mempunyai penerjun atlet.

“Kita seharusnya memenangi lebih daripada satu pingat di Rio namun berlaku kesilapan tidak diingini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2016 @ 8:09 AM