Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Jurulatih terjun negara Yang Zhuliang berharap penerjun negara yang layak beraksi di Sukan Olimpik 2016 Rio melupakan pelajaran buat sementara waktu, sebaliknya memberi tumpuan penuh terhadap latihan.

Katanya, temasya Olimpik hanya berlangsung empat tahun sekali dan bukan acara tahunan serta tidak mudah untuk atlet melepasi syarat kelayakan ditetapkan, justeru lebih baik jika mereka yang sudah layak memberi fokus terhadap latihan dan mengenepikan sementara waktu sesi pembelajaran sehingga Olimpik Rio berakhir.

“Emas bukan sesuatu mustahil buat atlet terjun negara di Rio, namun mereka perlu melipat gandakan usaha dan belajar daripada kesilapan.

“Pingat tidak akan diperoleh dengan mudah jadi kita perlu menjalani latihan lebih keras. Latihan juga perlu konsisten dan fokus. Sebagai contoh, latihan di China sangat bagus kerana semua atlet memberi fokus terhadap latihan dan tidak terganggu dengan keadaan persekitaran, jadi secara tidak langsung akan meningkatkan kualiti terjunan atlet.

“Saya bimbang jadual latihan padat selain perlu ke kelas akan menyebabkan atlet letih dan sukar memberi fokus. Justeru saya syorkan lupakan sementara pelajaran demi Olimpik dan kembali fokus selepas itu.

“Lin Dan bukan seorang profesor, begitu juga (Datuk) Lee Chong Wei. Tapi fokus mereka terhadap latihan begitu komited. Begitu juga semua atlet di China. Selalunya, menjelang temasya besar mereka hanya akan fokus kepada latihan semata-mata dan perkara itu yang menyumbang kepada kejayaan,” kata Zhuliang yang bimbang atlet negara akan menjadi letih dan kurang fokus kerana perlu membahagikan masa untuk latihan dan pelajaran.

Jelasnya, pendekatan sama diambil atlet di England, China, Amerika Syarikat dan Russia - hanya fokus kepada latihan setiap hari.

“Tapi tidak di negara ini. Untuk menjadi juara bukan mudah tapi siapa juga boleh menang dan juga tewas. Sebagai contoh ketika Kejohanan Terjun Siri Dunia di London, juara dunia Chen Ruolin hanya melakukan kesilapan kecil dan akhirnya gagal meraih sebarang pingat,” katanya.

Dua penerjun, Pandelela Riong dan Wendy Ng menjadi atlet terawal melayakkan diri ke Rio selepas beraksi cemerlang di Kejohanan Dunia yang berlangsung di Kazan Russia bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2015 @ 8:41 AM