LIU Ying-Peng Soon
LIU Ying-Peng Soon
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Bekas pemain beregu campuran negara, Chew Choon Eng mengharapkan kecemerlangan dipamerkan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying di Olimpik Rio selepas meraih perak, diteruskan pada masa akan datang.

Menurutnya, beliau percaya dengan kemampuan kedua-dua pemain itu untuk meneruskan rentak cemerlang selepas memberikan keputusan positif di Olimpik serta dari awal musim lagi berjaya menunjukkan peningkatan.

“Keputusan dicapai itu sedikit-sebanyak akan memberikan mereka keyakinan untuk mengorak langkah lebih jauh dalam kejohanan disertai selepas ini,” kata Choon Eng yang menjadi pemain terakhir menghadiahkan emas buat negara beregu campuran di Sukan SEA 1999.

Jelasnya, Peng Soon-Liu Ying juga diharapkan mampu meraih lebih banyak kejuaraan pada masa akan datang selepas kali terakhir meraih gelaran Siri Super pada 2012 di Terbuka Jepun.

Peng Soon-Liu Ying berjaya membawa pulang perak apabila tumpas 14-21, 12-21 kepada jaguh Indonesia, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir di saingan akhir Olimpik 2016.

“Mereka sudah berikan yang terbaik, sebagai bekas pemain negara saya begitu gembira dengan pencapaian mereka,” kata Choon Eng yag bergandingan bersama Chor Hooi Yee ketika meraih emas di Sukan SEA Brunei.

Pada aksi akhir berkenaan Choon Eng-Hooi Yee menumpaskan rakan senegara, Rosman Razak-Norashikin Amin 12-15, 15-6, 15-7 untuk membolehkan Malaysia menguasai acara beregu campuran.

Selepas kecemerlangan Choon Eng-Hooi Yei, pasangan Indonesia terus menguasai acara beregu campuran di Sukan SEA sehingga 2015, kecuali pada 2003 di Vietnam yang diraih pasangan Thailand, Sudket Prapakamol-Saralee Thungthongkam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2016 @ 7:54 AM