KETUA Pegawai Eksekutif DyDo Malaysia, Takeshi Sumo (tengah) bersama Goh Liu Ying dan Chan Peng Soon di Eatropica Cafe, Menara 1 Sentrum, Kuala Lumpur.
KETUA Pegawai Eksekutif DyDo Malaysia, Takeshi Sumo (tengah) bersama Goh Liu Ying dan Chan Peng Soon di Eatropica Cafe, Menara 1 Sentrum, Kuala Lumpur.
Ferzalfie Fauzi

PASANGAN beregu profesional, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying boleh menumpukan perhatian sepenuhnya kepada misi untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 apabila beberapa masalah utama sudah selesai.

Menurut Peng Soon, penajaan terbaru dari Yobick (minuman yogurt) berjaya menyelesaikan masalah kos kewangan untuk menyertai mana-mana kejohanan luar negara sehingga Olimpik tahun depan.

“Saya sangat gembira kerana mereka akan membantu kita dari segi penajaan kewangan untuk menyertai mana-mana kejohanan sehinggalah Tokyo 2020. Jumlah penajaan pula bernilai ratusan ribu,” katanya ketika ditemui di Majlis Memperkenalkan Duta Terbaru Yobick kelmarin.

Peng Soon-Liu Ying yang juga pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016, mengakui bahawa mereka akan menyertai kira-kira 20 kejohanan selepas ini.

“Kita sekarang sudah ada penaja dan ia memberikan keyakinan serta membuatkan kami berasa tenang. Selepas ini kami hanya fokus untuk memberikan yang terbaik di dalam latihan.

“Daikin Malaysia juga sudah memperbaharui kontrak dengan kita sehingga Olimpik 2020, jadi saya sangat berterima kasih kepada semua kerana terus memberikan sokongan kepada kami,” kata Peng Soon.

Selain masalah kos menyertai kejohanan luar negara, Peng Soon-Liu Ying juga dilihat semakain mantap dengan kehadiran jurulatih, Chew Choon Eng.

“Kehadiran jurulatih di belakang kami ketika beraksi memang sangat penting terutama sekali bagi permainan beregu. Sebelum ini banyak kombinasi yang kita sendiri tidak nampak. Bagaimanapun selepas Choon Eng hadir aksi kami semakin jelas.

“Kita juga bekerjasama dengan baik dan aksi kami sekarang ini tidak merosot terlalu teruk seperti sebelum ini,” kata pemain kelahiran Pulau Pinang itu.

Mereka yang meletakkan sasaran untuk meraih pingat di Kejohanan Dunia di Basel Ogos depan juga berharap skuad negara mampu beraksi cemerlang di Piala Sudirman.

“Saya rasa pemain kita tetap ada peluang untuk menyinar, sama seperti dua tahun lalu siapa sangka Korea Selatan boleh muncul juara.

“Saya sangat yakin dengan skuad kita walaupun diundi dalam kumpulan bersama China dan India. Jangan mudah menyerah dan beri tentangan sehingga ke mata akhir,” kata Liu Ying.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2019 @ 8:29 PM