NISHA (tengah) bersama rakan sepasukan meraikan kejayaan.
NISHA (tengah) bersama rakan sepasukan meraikan kejayaan.

Palembang: “Ini kali kedua saya menentangnya (Tippawan Khamsi) dan saya gembira menang pertemuan ini.

“Memang dia lawan sukar, tapi mujurlah hari ini (semalam) saya beraksi lebih baik,” kata A Nisha selepas memenangi emas acara karate kumite bawah 55 kg, semalam.

Temasya AUG ini yang pertama buat penuntut UNITAR itu dan dia gembira apabila membuahkan hasil seperti diimpikan.

Nisha berkata, dia sepatutnya tampil di AUG Laos dua tahun lalu, namun peperiksaan tahun akhir menghalangnya menyertai kontinjen negara ketika itu.

“Saya sudah jangka menang emas di sini (Palembang), tapi tidak boleh terlalu yakin kerana dalam acara tempur, apa saja boleh berlaku.

“Lihat saja hari ini. Saya menang 4-3 dan kemenangan ini boleh dianggap tipis. Apapun saya gembira dengan emas yang dimenangi.

“Saya hadiahkan emas ini kepada kontinjen Malaysia serta semua rakan sepasukan,” katanya.

Emas dimenangi Nisha yang keempat buat skuad karate negara di Palembang dan penyumbang emas terbanyak setakat ini.

Pada saingan terdahulu, M Mathivani memenangi gangsa acara kumite bawah 61 kg.

Sementara itu, kem negara terus ceria apabila K Senthil yang beraksi dalam acara kumite bawah 60 kg, memenangi emas selepas mengalahkan atlet tuan rumah, Muhamad Ichsan 8-0 manakala Prem Kumar sekadar perak apabila tewas 6-7 di tangan atlet Thailand Piyangkul Sawangsri dalam acara bawah 55 kg.

Dua lagi gangsa dikutip Noor Azizan Nor Azli dalam kategori bawah 75 kg dan A Devintiran menerusi kategori bawah 67 kg.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Disember 2014 @ 5:09 AM