OOI Tze Liang pada aksi kelayakan 10m platform individu lelaki di Pusat Aquatik Maria Lenk Rio. FOTO Rosli Rahmat
OOI Tze Liang pada aksi kelayakan 10m platform individu lelaki di Pusat Aquatik Maria Lenk Rio. FOTO Rosli Rahmat
Hamdan Saaid


Rio de Janeiro: Penerjun negara, Ooi Tze Liang gagal melayakkan diri ke separuh akhir acara 10 meter platform lelaki pada Sukan Olimpik Rio, awal pagi ini.

Atlet berusia 22 tahun yang memenangi pingat perak acara itu pada Sukan Komanwel Glasgow 2014, mengumpul 379.50 mata selepas melengkapkan enam terjunan.

Penerjun itu yang turut meraih emas acara 3m papan anjal di Glasgow 2014, menduduki tangga ke-22 daripada 28 penerjun. Hanya 18 penerjun layak ke separuh akhir, malam ini.

Selepas berada dalam kedudukan selesa untuk mara hasil terjunan pertama (68.80 mata), kedua (76.80) dan ketiga (64.50), pemenang empat pingat emas Sukan SEA Singapura 2015 itu gagal meneruskan rentak.

Catatan 46.20 mata dalam terjunan keempat, diikuti 54.40 dan 68.80 tidak mampu meletakkannya dalam kelompok 18 penerjun terbaik.

Terjun membawa pulang satu pingat perak menerusi gandingan Pandelela Rinong-Cheong Jun Hoong dalam acara 10m platform seirama wanita sekali gus mengatasi pencapaian London 2012 apabila Pandelela menang gangsa 10m platform.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Ogos 2016 @ 8:27 AM