AKSI  Pandelela dalam acara akhir 10 meter platform wanita. FOTO Bernama
AKSI Pandelela dalam acara akhir 10 meter platform wanita. FOTO Bernama
BERNAMA

Birmingham: Ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong gagal dalam usaha membawa pulang pingat acara wanita 10 meter (m) platform Sukan Komanwel Birmingham 2022, selepas hanya menduduki tempat ke-11 daripada 12 penerjun, di Pusat Akuatik Sandwell, awal pagi tadi.

Pandelela yang hanya mengumpulkan 260.90 mata, menerima 63.00 mata pada terjunan pertama, sebelum memperbaiki terjunan keduanya dengan menerima 66.7 mata.

Bagaimanapun aksi terjunannya selepas itu semakin menurun dengan hanya mengutip 52.80 mata untuk terjunan ketiga, dan terjunan terburuk pada terjunan keempat (33.60 mata), sebelum menamatkan terjunannya hari ini dengan 44.80 mata.

Penerjun tuan rumah menguasai dua tempat teratas dengan Andrea Sirieix, 17, dengan terjunan cemerlang, membawa pulang pingat emas dengan mengumpulkan 357.50 mata, manakala Lois Mae Toulson, menang perak (337.30 mata).

Penerjun Kanada yang mengumpulkan 317.50 mata, menang gangsa.

Pandelela yang memenangi emas pada edisi New Delhi 2010 dan perak di Glasqow 2014, mengakui hari pertama berlangsung acara terjun ini, bukan hari untuknya.

"Lompat tak baik sangat, sedikit sedih tak lakukan seperti biasa, datang sini agak terkejar-kejar jadi ada sikit 'jetlag' and penat...kadang-kadang hari ini hari anda, namun hari ini bukan hari saya," katanya ketika ditemui selepas acara tersebut.

Namun atlet dari Sarawak itu berjanji kembali dengan lebih baik dan berharap akan dapat melakukan terjunan lebih konsisten dalam dua lagi acara akan disertainya iaitu wanita 10m platform seirama bersama Nur Dhabitah Sabri dan 10m platform seirama campuran bersama Jellson Jabilin.

Pada masa sama, beliau akui agak sukar memenangi pingat di sini selepas penerjun lain memberikan cabaran hebat terutamanya penerjun tuan rumah, Sirieix dan Toulson.

"Hari ini hari mereka, jadi saya ucapkan tahniah kepada mereka berdua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Ogos 2022 @ 6:57 AM