AHMAD Zahid diiringi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua UMNO Bahagian Rantau Panjang, Senator Datuk Abdullah Mat Yasim hadir majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rantau Panjang. FOTO Syamsi Suhaimi
AHMAD Zahid diiringi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua UMNO Bahagian Rantau Panjang, Senator Datuk Abdullah Mat Yasim hadir majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rantau Panjang. FOTO Syamsi Suhaimi
Maiamalina Mohamed Amin dan Siti Norhidayatiyu Razali


Rantau Panjang: Penduduk yang tinggal dekat sempadan negara diingatkan supaya tidak bersekongkol mahupun bekerjasama dengan dengan mana-mana sindiket yang menggalakkan aktiviti penyeludupan.

Sebaliknya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu penduduk di situ lebih memikirkan soal keselamatan negara yang boleh menjadi ancaman lebih serius sekiranya tidak dikekang.

"Saya memahami sepanjang 776 kilometer (km) sempadan dari Kelantan ke Perlis, banyak kawasannya mudah bolos. Dulunya hanya lorong tikus sudah jadi lorong gajah.

"Kita berusaha bersungguh-sungguh menangani masalah penyeludupan ini, pembolosan di sempadan kerana mahu kekayaan bumi Malaysia hanya dikongsi dengan rakyat kita sahaja.

"Tapi rakyat yang duduk di sempadan juga harus prihatin, jangan bersekongkol, jangan bekerjasama dengan penyeludup tetapi tolong beri keutamaan kepada keselamatan negara kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rantau Panjang, di Kolej Kemahiran Tinggi MARA, Lubok Jong di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, pembolosan di sempadan akan membawa tiga masalah utama iaitu penyeludupan manusia, dadah dan senjata api.

Susulan itu, katanya, pemerkasaan kawalan di sempadan negara terutama di Kelantan diperhebatkan menerusi Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) yang kini mempunyai 10,000 pegawai dan anggota yang turut bersiap sedia dengan Pasukan Gerakan Am (PGA).

"Prosedur operasi standard (SOP) kita lakukan juga adalah paling lama pegawai dan anggota di sempadan tiga bulan sahaja, kemudian mereka ditukarkan dengan orang lain untuk kurangkan masalah penyeludupan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2016 @ 7:18 PM