ANGGOTA AKSEM memeriksa kenderaan di Sekatan Jalan Raya di Pengkalan Kubor, semalam. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ANGGOTA AKSEM memeriksa kenderaan di Sekatan Jalan Raya di Pengkalan Kubor, semalam. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris

MENJELANG perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang dijangka bermula Khamis ini di Kelantan, Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) akan memberi lebih fokus kepada sempadan negara.

Komander AKSEM Negeri Kelantan, Rusli Karim berkata, tumpuan utama agensi itu adalah sekitar pangkalan haram yang menjadi laluan utama warga asing memandangkan beberapa sektor utama termasuk kedai makan dibenarkan beroperasi nanti.

Beliau berkata, memandangkan kebanyakan premis yang menjual makanan di negeri ini ramai menggunakan pekerja dari Thailand, kemungkinan besar akan ada kemasukan warga itu ke negara ini.

"Tapi ia bergantung kepada kelulusan kerajaan negara asal mereka dan dokumen yang lengkap untuk masuk ke negara ini.

"Jika sebaliknya, kita tidak teragak-agak untuk menangkap sekiranya ditahan di sekatan jalan raya seterusnya diserahkan kepada pihak berwajib," katanya ketika ditemui di sekatan jalan raya AKSEM di Pengkalan Kubor, malam tadi.

Terdahulu, beliau turut sama-sama meluangkan masa berbuka puasa bersama anggota di sekatan jalan raya, di sini.

Rusli berkata, dari segi skop tugasan, agensinya tidak melaksanakan sebarang perubahan baharu daripada tugasan sedia ada sekarang untuk selarikan dengan PKPB namun lebih memperketatkan kawalan dan rondaan sempadan Kelantan-Thailand.

Selain itu, kerjasama dengan beberapa agensi penguatkuasaan lain sentiasa dibuat bagi mengekang kebolosan sempadan negara sama ada dari segi penyeludupan manusia atau barangan terlarang dapat terus dikekang.

Beliau berkata, 178 anggotanya bertugas selama 24 jam sama ada di sekatan jalan raya atau rondaan membabitkan tiga daerah iaitu Tumpat, Rantau Panjang dan Jeli.

"Jika ada perubahan skop tugasan sekalipun, hanya dari segi kekerapan rondaan kerana kita perlu selaraskan dengan keputusan kerajaan yang membenarkan beberapa sektor untuk beroperasi nanti.

"Bagaimanapun, pangkalan haram tetap diberi keutamaan kerana sepanjang PKP berlangsung, sudah banyak rampasan yanh dilakukan membabitkan ketum, petrol dan diesel, haiwan ternakan serta minyak masak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2020 @ 12:15 PM