Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Sheik Azahar Sheik Omar (depan) bersama pegawai dan peserta Kursus Penyesuaian Penugasan Rela Bersama Pga di Batalion 8 PGA, Pengkalan Chepa. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Sheik Azahar Sheik Omar (depan) bersama pegawai dan peserta Kursus Penyesuaian Penugasan Rela Bersama Pga di Batalion 8 PGA, Pengkalan Chepa. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Pasukan Gerakan Am (PGA) bekerjasama dengan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Kelantan bagi menangani jenayah rentas sempadan di tiga pintu masuk utama sempadan sejak awal Januari lalu menerusi Op Taring Wawasan.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Sheik Azahar Sheik Omar berkata, seramai 76 anggota Rela diberi penugasan 24 jam untuk menjaga Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, ICQS Pengkalan Kubor, Tumpat dan ICQS Bukit Bunga, Tanah Merah.

Katanya, penugasan anggota Rela berkenaan adalah bagi memantapkan lagi tugasan bersama PGA khususnya di pintu masuk sempadan bagi mengekang penyeludupan dadah mahupun senjata api.

"Isu masalah sempadan di Kelantan adalah serius dan boleh dikatakan hampir setiap hari ada sahaja aktiviti penyeludupan melalui sempadan atau pangkalan haram," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Kursus Penyesuaian Penugasan Rela Bersama Pga di Batalion 8 PGA, Pengkalan Chepa yang turut dihadiri Pengarah Rela Negeri Kelantan, Penolong Pesuruhjaya Kanan Rela (PPjKR) Amirul Ikhwan Ahmad Shukri, di sini, hari ini.

Terdahulu seramai 76 anggota Rela dari daerah Tumpat, Rantau Panjang, Tanah Merah dan Pasir Mas menyertai kursus berkenaan yang diadakan selama enam hari bermula 6 hingga 11 november.

Mengulas lanjut Sheik Azahar berkata, dalam setiap diri anggota perlu ada 'sense' atau jiwa yang lebih peka khususnya aktiviti yang membabitkan penyeludupan di sempadan.

"Jangan bersekongkol dengan penyeludup dan janganlah kita sebagai penguatkuasa menjadi pengkhianat sekaligus mencemarkan imej penguatkuasa baik PGA mahupun anggota Rela," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2023 @ 6:27 PM