Superintendan Azhari Nusi, sedang memberi arahan kepada anggota PGA7 yang bertugas menjaga sempadan negara. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
Superintendan Azhari Nusi, sedang memberi arahan kepada anggota PGA7 yang bertugas menjaga sempadan negara. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
Siti Rohana Idris


Rantau Panjang: Selama sebulan melakukan tugasan Op Benteng Covid-19, Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) merekodkan sebanyak 108 kes membabitkan kegiatan penyeludupan dan jenayah rentas sempadan di Kelantan.

Operasi yang bermula pada 14 September lalu itu berjaya mencatatkan nilai rampasan berjumlah RM7.2 juta.

Pegawai Pemerintah PGA7 Superintendan Azhari Nusi berkata, sepanjang tugasan itu, pihaknya memperoleh beberapa kejayaan antaranya rampasan rokok seludup bernilai RM1.47 juta, empat kes penyeludupan membabitkan 101 lembu (RM606,000) dan ayam beku (RM38,700).

"Dalam tempoh itu, seramai 57 pendatang asing tanpa izin (Pati) termasuk lapan tekong darat ditahan dalam operasi kawalan bersama PGA9.

"Walaupun masih ada Pati yang berjaya bolos masuk tetapi kemasukan mereka menurun secara mendadak berikutan kawalan semakin diperketatkan di sepanjang sempadan negara," katanya pada sidang media di Markas Taktikal Lubok Stol, di sini, semalam.

Azhari berkata, pengawalan semakin diperketatkan di 128 pangkalan haram bermula dari Rantau Panjang hingga ke Tumpat dengan memberi fokus kepada enam kawasan panas bagi memastikan tiada pembolosan Pati yang berpotensi menyebabkan penularan Covid-19 ke negara ini.

Katanya, PGA7 juga sudah menambah jumlah keanggotaan dari 400 kepada 430 pegawai dan anggota bagi penugasan Op Benteng itu.

"Seperti kita semua sedia maklum, pemasangan kawat duri di 13 lokasi pangkalan haram sepanjang Rantau Panjang hingga Pengkalan Kubor banyak membantu pihak berkuasa dalam mengurangkan penyeludupan masuk Pati.

Terdahulu, Azhari menyampaikan sijil penghargaan kepada 10 pengamal media dari negeri ini yang disifatkan banyak membantu dalam melaporkan penugasan dibuat PGA7.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dan bersedia untuk mengambil tindakan sekiranya ada dalam kalangan anggotanya yang tidak mengamalkan integriti dalam penugasan.

"PGA7 akan terus bekerjasama dengan pihak tentera dalam memastikan kawalan pintu sempadan Malaysia-Thailand di tahap yang tinggi dan kedaulatan undang-undang serta keselamatan negara sentiasa menjadi keutamaan kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2020 @ 2:09 PM