GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Syaherah Mustafa


Pasir Mas: Tindakan wanita Thailand membawa empat rakan senegara yang juga pendatang asing tanpa izin (Pati) menggunakan Perodua Alza membawa padah apabila ditahan pihak berkuasa di persimpangan Batu Karang, di sini, semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7), Superintendan Azhari Nusi berkata, dalam kejadian jam 6 petang itu, anggota membuat rondaan di Lebuhraya Rantau Panjang-Pasir Mas sebelum terserempak kereta dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, anggota menahan kereta yang dipandu wanita berusia 21 tahun dipercayai warga Thailand berdasarkan pemeriksaan pasport miliknya.

"Namun begitu, empat lagi penumpang terdiri daripada seorang wanita dan tiga lelaki berusia 15 hingga 22 tahun gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah selain mengakui tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

"Kelima-lima daripada mereka ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas bagi tujuan laporan sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Azhari berkata, semua Pati berkenaan disyaki masuk secara haram melalui jalan yang tidak diwartakan atau pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok.

"Kedatangan mereka ke Malaysia atas pelbagai faktor seperti bekerja atau bertemu keluarga atas urusan tertentu. Bagaimanapun, cara mereka ini salah di sisi undang-undang, jadi perlu dikenakan tindakan sebagai pengajaran buat yang lain.

"PGA7 sudah mengenal pasti beberapa pangkalan haram yang menjadi tumpuan penyeludupan Pati yang mana akan terus dikawal agar tiada lagi pembolosan di sempadan negara.

"Walaupun penyeludup sentiasa mencari strategi baharu dalam memastikan kegiatan mereka terus berjalan, namun pihak kami tetap peka dan berwaspada demi mengekang penyeludupan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Disember 2021 @ 12:36 PM