PAMERAN TCG berlangsung di Pusat Beli-Belah Aeon Metro Prima sehingga 13 Februari ini.
PAMERAN TCG berlangsung di Pusat Beli-Belah Aeon Metro Prima sehingga 13 Februari ini.

Kuala Lumpur: Aeon Co (M) Bhd (Aeon) menganjurkan pameran Pokemon Trading Card Games (TCG) di Pusat Beli-Belah Aeon Metro Prima di Kuala Lumpur yang berlangsung dari 28 Januari hingga 13 Februari 2022 bersempena sambutan ulang tahun ke-25 Pokemon TCG.

Ketua Pegawai Eksekutif, Aeon Fantasy (M) Sdn Bhd, Naritomo Yamazaki berkata, sebagaimana peminat Pokemon, pihaknya teruja menganjurkan pameran berkenaan.

"Ia memberi peluang mengimbau kembali kenangan indah berinteraksi dengan watak-watak di dalam permainan ini.

"Pada masa sama dapat mengetahui evolusi terbaharunya dan mendekatkan diri dengan komuniti permainan Pokemon melalui pelbagai aktiviti termasuk pertukaran dan menjual barangan koleksi Pokemon," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Urusan Aeon, Tsutomu Motomura berkata, pihaknya bersyukur dan berbesar hati menjadi pusat beli-belah pertama di Malaysia menganjurkan Pameran Pokemon TCG sempena sambutan ulang tahunnya ke-25.

"Aeon bukan sekadar memberi khidmat sektor peruncitan baharu. Kami sentiasa berusaha untuk memberikan pengalaman baharu lagi menyeronokkan kepada pelanggan bagi mencipta kenangan indah ketika bersama kami.

"Kami sangat gembira mengalu-alukan peminat Pokemon berkumpul di sini untuk hari dipenuhi dengan keriangan menerusi pelbagai aktiviti namun SOP terus dipatuhi," katanya.

Acara itu mempamerkan Pokemon TCG: Celebrations cards, Pokemon TCG: Sword and Shield - Evolving Skies, dan Pokemon TCG: Sword and Shield - set pengembangan Fusion Strike.

Peminat turut berpeluang menukar kad mereka, menonton demonstrasi permainan video terbaharu, Pokemon Legend: Arceus, bermain Pokemon Ga-Olé dan membeli produk dan barangan rasmi Pokemon.

Peminat juga dapat menonton penampilan Pikachu setiap Sabtu dan Ahad pada jam 3 petang, 5 petang dan 7 malam yang merangkumi sesi Meet & Greet, walkabout dan tarian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Februari 2022 @ 7:01 AM