Demam aplikasi permainan Pokemon Go mula melanda dunia termasuk di negara ini. Ke mana saja kita pergi, pasti ternampak ada yang merayau-rayau sambil memegang telefon pintar masing-masing.

Ada yang tiba-tiba tersenyum dan ada juga yang tidak puas hati kerana Pokemon yang dikejar tidak dapat. Pokemon berada di mana saja termasuk di dalam masjid, restoran, pusat beli-belah, di celah-celah orang ramai dan balai polis.

Kegilaan sama turut melanda artis Bollywood termasuk Datuk Shah Rukh Khan (SRK).

Sementara itu, aktor Varun Dhawan menyifatkan dirinya seperti Pokemon, SRK pula kecewa kerana dia gagal menangkap satu pun Pokemon.

Dalam Facebooknya, SRK mencatatkan ‘rasa macam diri ini tidak berguna, tidak menarik dan kesunyian. Berada di jalan selama 45 minit tetapi tiada satu pun Pokemon yang muncul’.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2016 @ 11:03 AM