PEMAIN mencari Pokemon di depan sebuah balai polis yang menjadi Pokestop.
PEMAIN mencari Pokemon di depan sebuah balai polis yang menjadi Pokestop.
Ahmad Salim Bachok

Kejayaan dua penerjun negara; Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong meraih pingat perak, iaitu pingat pertama untuk negara di sukan Olimpik Rio pada Rabu lalu pastinya disambut dengan penuh gembira oleh setiap rakyat negara ini.

Tidak kira bangsa, agama atau usia. Baik pembesar negara mahupun rakyat biasa, golongan kaya atau yang kurang berada, kejayaan dan kehebatan terjunan seirama acara 10 meter dua srikandi negara ini sesungguhnya amat bermakna dan tidak ternilai harganya kepada seluruh umat Malaysia.

Benar sekali bahawa sukan adalah antara medium yang paling ampuh untuk menyemarakkan rasa cinta dan bangga rakyat kepada ibu pertiwi. Selain sukan, bahasa, lagu atau tokoh tertentu di dalam masyarakat dikatakan turut mampu menjadi besi berani atau agen untuk menyatukan rakyatnya daripada ancaman perpecahan akibat perbezaan taraf hidup, pelampau agama dan berbeza fahaman politik.

Mungkin kerana itu jugalah agaknya maka aura kepemimpinan Tengku Mahkota Johor dalam mengurus pasukan bola sepak JDT dan kejayaan pasukan harimau selatan itu dalam arena bola sepak negara masa kini menjadikan anak-anak Johor dilihat semakin bangga mengibarkan bendera negeri itu.

Kini, banyak pemandu kereta dan motosikal di negeri berkenaan turut menampal stiker gambar kepala harimau menyeringai, iaitu lambang pasukan JDT, di kenderaan masing-masing. Begitulah hebatnya sukan dalam menyatukan manusia.

Maka kejayaan setiap ahli sukan di sesebuah kejohanan bertaraf dunia seperti Olimpik ini tentu sekali memberi impak moral yang hebat kepada sebahagian besar rakyatnya.

Kerana itu saya ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Pandelela dan Jun Hoong di atas kejayaan mereka di Rio kerana ia sedikit sebanyak memberi rasa gembira serta bangga di dalam hati kita semua, lebih-lebih lagi ketika kita bakal menyambut ulang tahun ke-59 kemerdekaan negara pada akhir bulan ini.

Bagaimanapun, menurut pandangan saya, kita kini semakin sukar untuk bersatu. Pelbagai isu, terutamanya yang berkaitan politik, membuatkan kita lebih mudah berpecah daripada bersatu.

Tetapi isu lebih besar yang mampu menjadikan rakyat negara ini berpecah sesama sendiri kini benar-benar memeningkan kepala banyak pihak. Kerajaan nampaknya serba salah. Ada yang benarkan, tetapi banyak yang mahu tegah. Sesama ahli keluarga pun banyak yang berbalah, ada yang setuju ada pula yang bantah. Tetapi anak muda, terutama golongan remaja menerimanya dengan rasa gembira dan megah.

Isu atau ancaman yang saya maksudkan adalah kegilaan terhadap permainan siber Pokemon Go yang kini sedang melanda negara, hingga seolah-olah menenggelamkan keriuhan temasya Olimpik di Rio de Janeiro sekarang. Demam dan keasyikan memburu ‘hantu’ atau makhluk siber menggunakan aplikasi telefon pintar ini benar-benar membahagikan rakyat negara ini kepada tiga pihak.

Banyak pihak menyambut baik, tetapi mufti beberapa negeri sudah mengeluarkan fatwa menegah umat Islam daripada terbabit dengannya atas faktor kemudaratan melebihi kebaikan daripada permainan ini. Terbaru, Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah mengharamkan terus permainan itu di negara berkenaan.

Bagaimanapun, di Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, tiada sekatan terhadap permainan ini. Malah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, dikatakan bermain Pokeman Go di pusat beli-belah di pulau mutiara itu, selain turut berkongsi tip permainan itu bersama rakan FB beliau.

Saya sendiri masih belum memuat turun aplikasi Pokemon Go ini, tetapi melalui maklum balas seorang anak saudara saya yang mengaku sudah menjadi penagih pokemon, aplikasi yang direka dan dibangunkan oleh Niantic Incorporation, iaitu sebuah anak syarikat Nintendo Amerika Syarikat ini sememangnya amat mengasyik dan melekakan pemainnya.

Sejak dilancarkan pada Sabtu lalu, anak saudara saya mendakwa sudah berjaya mengumpul lebih 500 ekor pelbagai haiwan maya ini dan dia bertekat mahu terus menangkap dan memelihara lebih banyak lagi pokemon.

Menurutnya, untuk itu dia sanggup bangun seawal jam 5 pagi setiap hari untuk memburu di beberapa sarang pokemon yang dipanggil PokeStop dan PokeGym di sekitar ibu kota. Masya-Allah!

Penulis Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2016 @ 11:43 PM