KEADAAN motosikal berkuasa tinggi yang terbakar. FOTO ihsan bomba
KEADAAN motosikal berkuasa tinggi yang terbakar. FOTO ihsan bomba
Raja Noraina Raja Rahim


Seremban: Seorang lelaki rentung apabila motosikal berkuasa tinggi KTM 900 yang ditunggangnya terbakar selepas terbabit kemalangan di Kilometer 243 Lebuhraya Utara-Selatan, arah utara, berhampiran Hentian Senawang di sini, tengah malam tadi.

Mangsa, Ahmad Tarmiji Hussin, 54, dalam perjalanan dari Melaka ke Kuala Lumpur dipercayai melanggar belakang kereta Perodua Kancil sebelum terbabas dan terbakar, kira-kira jam 12 tengah malam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Mohd Fuad Majid berkata, sebuah jentera bersama lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan daripada orang awam.

"Bomba mengambil masa tiga minit untuk memadamkan kebakaran. Motosikal itu musnah 100 peratus dan kita (bomba) turut menemui mayat seorang lelaki rentung berhampiran motosikal berkenaan.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) dan kes diserah kepada polis. Punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Ogos 2016 @ 9:24 AM