FOTO ihsan bomba
FOTO ihsan bomba
Raja Noraina Raja Rahim


Rembau: Seorang wanita rentung, manakala seorang lagi parah selepas kereta dinaiki terbalik di Kilometer 246 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, berhampiran hentian rehat Senawang, dekat sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 5 pagi itu, dua wanita yang menaiki kereta Perodua Kenari dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik menyebabkan kereta berkenaan terbakar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Mohd Fuad Majid berkata, pihaknya menerima panggilan 5.01 pagi sebelum dua jentera dengan kekuatan sembilan anggota ke lokasi kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba api sedang marak dan dimaklumkan pemandu masih terperangkap dalam kereta itu, manakala penumpang wanita berjaya dikeluarkan orang ramai serta dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) untuk rawatan.

"Bomba berusaha memadamkan kebakaran untuk menyelamatkan mangsa. Bagaimanapun, kereta musnah 100 peratus dan mangsa ditemui rentung. Identiti kedua-dua mangsa masih belum dikenalpasti berikutan dokumen peribadi turut hangus," katanya ketika dihubungi hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2016 @ 8:36 AM