KENDERAAN terbabit kemalangan. FOTO ihsan Bomba
KENDERAAN terbabit kemalangan. FOTO ihsan Bomba
Raja Noraina Raja Rahim


Nilai: Pemandu lori maut tercampak ke dalam longkang selepas terbabit kemalangan di Kawasan Perusahaan Nilai di sini, hari ini.

Mayat Khairul Azhar Mohd Ali, 32, turut dihanyutkan arus deras sebelum ditemui pasukan bomba kira-kira 700 meter dari lokasi kemalangan.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, lori membawa muatan produk makanan sejuk beku yang dipandu mangsa dari arah Pajam ke Semarak dipercayai hilang kawalan sebelum bertembung dengan lori membawa muatan tanah yang datang dari arah bertentangan.

Kemalangan itu mengakibatkan lori mangsa berpusing sebelum terbalik dan mangsa dikatakan tercampak ke dalam longkang besar lalu dihanyutkan arus deras.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai Mohd Syazwan Saidy berkata, pihaknya menerima panggilan pada 4.17 petang sebelum jentera dengan kekuatan lapan anggota bergegas ke lokasi.

"Anggota menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa sebelum menemuinya kira-kira 700 meter dari lokasi kejadian. Mangsa dihanyutkan arus kerana hujan lebat.

"Mangsa cedera di kepala dan kaki serta disahkan meninggal dunia. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban untuk bedah siasat dan kes diserah kepada polis," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2016 @ 7:25 PM