GAMBAR adalah ihsan Bomba dan Penyelamat Malaysia
GAMBAR adalah ihsan Bomba dan Penyelamat Malaysia
Raja Noraina Raja Rahim


LELAKI maut manakala rakannya cedera dalam kemalangan di Kilometer 285 lebuh raya PLUS arah selatan berhampiran Hentian Nilai, tengah malam tadi.

Toyota Unser dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan Proton Perdana mengakibatkan kedua-keduanya tersepit, dalam kejadian kira-kira 12 tengah malam.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, N Krishnan, berkata satu jentera dan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dengan kekuatan 10 anggota ke lokasi sejurus menerima panggilan pada 12.08 tengah malam.

Menurutnya, pihaknya turut menerima bantuan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Senawang.

"Bomba mengambil kira-kira 45 minit untuk mengeluarkan mereka. Pemandu disahkan meninggal dunia manakala penumpang cedera.

"Bagaimanapun, pemandu Proton Perdana tiada di lokasi dipercayai sudah dibawa ke hospital oleh orang awam," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, mayat mangsa dan rakan yang cedera dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) serta kes diserahkan kepada polis.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Julai 2017 @ 11:48 AM