MAYAT mangsa yang ditemui selepas diserang beruang. FOTO Ramli Ibrahim
MAYAT mangsa yang ditemui selepas diserang beruang. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Seorang lelaki warga Thailand maut dipercayai diserang beruang di kebun durian dekat Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Renok Baru, di sini, pagi tadi.

Mayat Mat Didik@Madidi Basa, 40, ditemui anaknya, Muhamad Naim, 15, yang keluar mencarinya di dalam parit di kebun itu kira-kira 6 pagi.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, mangsa dipercayai terserempak dengan beruang itu ketika ke kebun berkenaan seorang diri, sejak 10 malam tadi.

"Sebelum ini penduduk mendakwa beruang kerap berkeliaran di kawasan kebun itu, malah ada yang memberitahu melihat haiwan liar berkenaan makan durian di atas pokok.

"Mangsa mungkin terserempak dengan beruang terbabit ketika ke sana untuk mengutip durian yang gugur dan berlaku pergelutan antara kedua-duanya.

"Mayat mangsa ditemui tersandar di dinding tebing dengan kecederaan serius di kepala dipercayai dicakar haiwan itu," katanya di sini, hari ini.

Mayatnya dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) di sini untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian, lewat petang ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2016 @ 12:57 PM