Keadaan kereta dinaiki mangsa. FOTO Ramli Ibrahim
Keadaan kereta dinaiki mangsa. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Anggota tentera wanita maut, manakala teman lelakinya cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dengan treler muatan balak di Kilometer 14 Jalan Gua Musang - Kuala Lipis, jam 2.15 pagi tadi.

Mangsa, Sarjan Akhma Zuyana, 34, yang bertugas di Markas Tentera Darat Cawangan Sumber Manusia, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur menaiki kereta Proton Persona yang dipandu bakal tunangnya, Noor Izwan Mohd Nor, 29, dalam perjalanan ke kampung mangsa di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh 1, di sini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta yang dipandu teman lelaki mangsa hilang kawalan sebelum bertembung dengan treler muatan balak dari arah bertentangan.

Katanya, akibat kemalangan itu mangsa parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian. Manakala, teman lelakinya yang cedera menerima rawatan di Hospital Gua Musang.

"Mayat mangsa dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk dikebumikan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mei 2016 @ 7:08 PM