Laporan mengenai wanita mengandung yang dijel dan didenda kerana mencuri, semalam.
Laporan mengenai wanita mengandung yang dijel dan didenda kerana mencuri, semalam.
Siti Nadzirah Che Mud


Kota Bharu: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) The 3rd Force bersedia membantu wanita mengandung lapan bulan yang dijatuhi hukuman penjara 14 hari dan denda RM3,000 kerana mencuri dalam pasar raya, semalam.

Pengasasnya, Raja Shamri Raja Husin berkata, pihaknya akan membeli keperluan bayi dan perkakas bersalin untuk wanita itu.

"Selepas membaca berita itu semalam, terlintas di fikiran saya bagaimana keadaannya dan apa persediaan menyambut anak yang dilakukan.

"Saya tidak fikir mengenai kesalahan dibuat dan hukumannya, tetapi lebih pentingkan anak dalam kandungannya yang menunggu masa untuk dilahirkan.

"Sebab itu, kita berhasrat bantunya dan sebaik dia selesai jalani hukuman nanti," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mahkamah Majistret, di sini semalam menjatuhkan hukuman penjara kepada wanita berusia 39 tahun itu dan denda terhadap pertuduhan mencuri di sebuah pasar raya pada 2009.

Dia didakwa mencuri dua pasang selipar, enam pasang baju, sehelai baju-T kanak-kanak dan tiga pasang sarung tangan bayi yang bernilai RM165 dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2016 @ 3:30 PM